Selasa, 2 April 2024 | 4:19pm
Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Sarjit fokus bentuk pasukan, perbaiki ranking

KUALA LUMPUR: Fokus utama pengendali skuad hoki negara, Sarjit Singh pada ketika ini tertumpu kepada pembentukan sebuah pasukan yang secara amnya diisi pemain muda dan dalam masa sama, cuba memperbaiki ranking semasa pasukan Speedy Tigers.

"Sekarang ini kami sedang melakukan penilaian ke atas setiap pemain. Keutamaan saya adalah untuk membentuk pasukan terlebih dahulu dan kemudian jika ada keputusan yang baik, pastinya ia bagus untuk pasukan.

"Tapi jika sebaliknya, kami perlu terus kepada usaha membentuk pasukan sehinggalah ke Sukan Asia (2026)," kata Sarjit mengenai pasukan yang pada ketika ini berada di ranking ke-13 dunia itu.

Dalam pada itu, Sarjit memaklumkan yang dirinya tidak dapat memberikan sebarang sasaran dalam kejohanan bakal disertai akan datang memandangkan barisan pemain kali ini adalah muka baharu.

Ia termasuklah kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 11 Mei depan dekat Ipoh yang juga kejohanan pertama di bawah bimbingannya.

"Kami tak boleh beritahu sasaran tertentu kerana kamu perlu melihat kepada pemain yang terpilih. Sebab itulah seperti saya katakan sebelum ini, kami perlu bentuk pasukan terlebih dahulu. Sasaran utama adalah di Sukan Asia 2026. Kami ada dua tahun tujuh bulan untuk melakukan persediaan ke temasya itu," katanya.

Pada pengumuman senarai 30 pemain yang terpilih menyertai latihan fasa kedua semalam, Sarjit memperkenalkan rata-rata barisan pemain muda, malah enam pemain tidak pernah melakukan penampilan bersama skuad kebangsaan.

Mereka adalah Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Sarjit turut memilih empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu iaitu Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal, Alfarico Lance Liau Jr dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yang juga pemain paling muda berusia 18 tahun.

Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Berita Harian X