Isnin, 1 April 2024 | 7:00pm
Sarjit (kiri) dan Ahmad Najmi pada sidang media hari ini.
Sarjit (kiri) dan Ahmad Najmi pada sidang media hari ini.

Peluang 6 pemain raih kap pertama

KUALA LUMPUR: Seramai enam pemain berpeluang untuk meraih kap antarabangsa pertama mereka selepas dipilih dalam senarai 30 pemain skuad hoki lelaki kebangsaan bagi menjalani latihan fasa kedua.

Enam pemain yang berjaya memikat hati ketua jurulatih skuad negara yang baharu itu adalah Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Sarjit turut menyenaraikan empat pemain daripada skuad Piala Dunia Remaja tahun lalu ke dalam senarai 30 pemain itu.

"Kami akan beri peluang kepada semua pemain. Sejak dari awal lagi saya sudah beritahu yang kami perlu menilai mereka selepas 25 hingga 30 perlawanan," katanya.

Sementara itu, pengurus skuad negara, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, kesemua 30 pemain itu melepasi saringan awal 46 pemain yang dipanggil sebelum ini.

"Senarai 30 pemain ini akan menjalani latihan peringkat kedua sebelum kita mengumumkan skuad terakhir iaitu 18 pemain selepas perlawanan persahabatan dengan New Zealand.

"Insya-Allah pada 1 Mei kita akan umum senarai 18 pemain yang akan menggalas tugas di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

"Purata umur 30 pemain ini adalah 25 tahun," kata Ahmad Najmi pada sidang media mengumumkan senarai 30 pemain skuad senior kebangsaan, hari ini.

Pada saingan Piala Azlan Shah yang dijadual berlangsung dari 4 sehingga 11 Mei depan, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Skuad negara kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

Berita Harian X