Ahad, 31 March 2024 | 4:27pm
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) beramah mesra bersama barisan kepimpinan tertinggi KHM pada Majlis Berbuka Puasa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di The Majapahit Arcoris. - BERNAMA
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) beramah mesra bersama barisan kepimpinan tertinggi KHM pada Majlis Berbuka Puasa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di The Majapahit Arcoris. - BERNAMA

Ahmad Najmi pengurus baharu skuad hoki lelaki

KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dilantik sebagai pengurus pasukan skuad hoki lelaki kebangsaan bagi menggantikan Datuk Mirnawan Nawawi sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal dengan menyatakan Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebagai individu paling layak untuk mengemudi skuad baharu Speedy Tigers dikendali Sarjit Singh.

"Saya sudah berbincang dengan Datuk Majid Manjit Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan) dan Datuk Najmi sendiri untuk melantik beliau sebagai pengurus pasukan.

Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. - Foto BERNAMA
Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak. - Foto BERNAMA

"Walaupun dia Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, tapi kami merasakan beliau juga adalah orang yang paling layak kerana beliau paling dekat dengan pasukan.

"Oleh itu, untuk pasukan lelaki, Datuk Najmi sebagai pengurus pasukan kebangsaan," kata Subahan ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa KHM, malam tadi.

Awal tahun ini, KHM membuat keputusan untuk pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan untuk membina semula pasukan yang baharu.

Sebelum ini, skuad lelaki senior kebangsaan gagal dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia yang kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di tempat kelima.

Skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12.

Dalam pada itu, Sarjit memaklumkan senarai 30 pemain akan diumumkan hari ini dengan memberi bayangan kebanyakan pemain kali ini dibarisi pemain muda.

"Secara kasarnya kita sudah ada 30 pemain dan itu akan diumumkan pada Isnin ini. Kebanyakannya pemain muda dan seperti saya maklumkan dari awal lagi, pemain senior itu kita hanya ada dalam tiga atau empat pemain sahaja dan yang lain, semua pemain muda," katanya.

Berita Harian X