Jumaat, 29 March 2024 | 4:19pm
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan ketika beraksi pada Sukan SEA Vietnam. - BERNAMA
Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan ketika beraksi pada Sukan SEA Vietnam. - BERNAMA

Aniq ada peluang cerah ke Paris 2024

KUALA LUMPUR: Malaysia kemungkinan meraih satu lagi tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi sukan angkat berat selepas berakhirnya Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand yang bermula esok hingga 11 April.

Cabaran negara di kejohanan itu digalas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin dalam kategori 61 kilogram (kg) manakala Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73kg.

Bagaimanapun, tumpuan terarah kepada Aniq yang dilihat berada di landasan tepat untuk ke Paris apabila ketika ini menduduki ranking kelapan dalam kategorinya.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, prestasi semasa Aniq menunjukkan dia berpeluang untuk mengesahkan tiket ke Olimpik di Phuket selain memenuhi segala syarat ditetapkan untuk layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kejohanan di Phuket ini adalah kejohanan terakhir untuk kelayakan ke Olimpik dan ia juga kejohanan kelima disertai Aniq.

"Berdasarkan prestasi terkini serta melihat kepada pesaing lain yang mana kami sudah kenalpasti, mungkin ada peluang untuknya (layak ke Olimpik). Apapun sama-sama kita doakan semoga dia berjaya," katanya.

Aniq kini memegang rekod kebangsaan dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan angkatan 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Berdasarkan syarat kelayakan ke Paris dalam acara angkat berat, 10 atlet terbaik yang berada dalam ranking dunia akan layak secara automatik ke temasya Olimpik.

Berita Harian X