Rabu, 27 March 2024 | 3:09pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (duduk, tengah) bersama pengamal media pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengamal Media 2024 di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya. BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (duduk, tengah) bersama pengamal media pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengamal Media 2024 di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya. BERNAMA

KBS belum fikir anjur Sukan Asia 2038

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum berhasrat membida bagi menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebaliknya menegaskan keutamaan KBS ketika ini adalah memastikan pembangunan bakat tidak terganggu.

Katanya, beliau mahu memastikan setiap dana yang diterima dibelanjakan untuk progam pembangunan bakat supaya lebih ramai atlet dapat dihantar menyertai pertandingan antarabangsa.

"Tiada guna kita menjadi tuan rumah tetapi atlet kita tidak menang apa-apa. Itu bukan hasrat rakyat Malaysia.

"Sebab itu, bila kerajaan buat keputusan untuk menolak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ramai netizen yang menyokong keputusan ini.

"Jadi, wang yang diperuntukkan lebih baik digunakan untuk pembangunan bakat" katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa KBS bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia berminat untuk membida menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 selepas kerajaan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi menganjurkan temasya itu pada 2026.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 sekiranya masih mempunyai hasrat untuk menganjurkan sukan bertemasya bertaraf tinggi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata menerusi perancangan teliti, penganjuran Sukan Asia dilihat mampu memberi impak yang besar dalam semua aspek termasuklah ekonomi dan pembangunan masyarakat akar umbi.

Mengulas lanjut, Hannah berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan sukan akan turut diutamakan selain akademik.

Dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berpotensi, beliau akan mendapatkan kerjasama KPM bagi memastikan pembabitan semua jenis sekolah dalam pertandingan sukan termasuklah sekolah antarabangsa, swasta, tahfiz malah turut mengesan mereka yang tidak bersekolah di bawah umur 12 tahun untuk terbabit sama.

Berita Harian X