Ahad, 24 March 2024 | 4:40pm
Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Malaysia patut menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038. – Foto fail NSTP
Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Malaysia patut menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038. – Foto fail NSTP

Bida tuan rumah Sukan Asia 2038 lebih realistik - Shapawi

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyokong cadangan untuk Malaysia menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038.

Beliau berkata menjadi tuan rumah temasya itu dalam tempoh 12 tahun lagi lebih realistik kerana mempunyai tempoh masa yang lebih panjang untuk membolehkan negara membuat persiapan penganjuran dan persediaan atlet yang lebih rapi.

"Lagipun, kita tidak pernah menganjurkan Sukan Asia sebelum ini.

"Ia juga akan memberi impak ekonomi yang lebih bersesuaian kerana banyak persamaan sosio budaya dengan negara Asia yang lain.

"Ia juga akan menggalakkan penyertaan semua negara Asia di atas kesediaan dan kesamaan yang wujud dalam kalangan negara Asia," kata Shapawi kepada BH Sukan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia perlu terlebih dahulu mengukuhkan struktur pembangunan sukan negara ke arah melahirkan atlet yang mampu menembusi standard Sukan Asia.

"Menjuarai peringkat Asia seolah-olah tapak kita kepada Sukan Olimpik. Negara Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan sudah banyak menguasai acara sukan di peringkat Olimpik.

"Jadi, kita perlu buat persiapan rapi bagi mempersiapkan atlet kita untuk bersaing di pentas yang cukup kompetitif," katanya.

BH Sukan hari ini melaporkan Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 sekiranya masih mempunyai hasrat untuk menganjurkan temasya sukan bertaraf tinggi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata dengan perancangan yang teliti, penganjuran Sukan Asia dilihat mampu memberi impak besar dalam semua aspek termasuklah ekonomi dan pembangunan masyarakat akar umbi.

Cadangan itu hadir selepas mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin memutuskan Malaysia tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, memaklumkan keputusan berkenaan diambil kerana kerajaan ketika ini mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia sejak temasya itu diperkenalkan pada 1951.

Malaysia pernah membida untuk menganjurkan temasya itu bagi edisi 2006 tetapi tewas kepada Doha, Qatar yang dipilih selaku tuan rumah.

Hanya dua negara di Asia Tenggara pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia iaitu Thailand sebanyak empat kali manakala Indonesia dua kali.

Edisi Sukan Asia seterusnya akan diadakan di Aichi-Nagoya, Jepun pada 2026 diikuti Doha 2030 dan Riyadh, Arab Saudi 2034.

Berita Harian X