Ahad, 24 March 2024 | 11:34am
Majlis penutupan Sukan Asia Hangzhou berlangsung meriah di Stadium Olimpik Hangzhou, Oktober lalu.
Majlis penutupan Sukan Asia Hangzhou berlangsung meriah di Stadium Olimpik Hangzhou, Oktober lalu.

Syor Malaysia anjur Sukan Asia 2038

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2038 sekiranya masih mempunyai hasrat untuk menganjurkan sukan bertemasya bertaraf tinggi.

Bagaimanapun, hasrat itu perlu diselarikan dengan penstrukturan semula sukan negara secara menyeluruh.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata dengan perancangan yang teliti, penganjuran Sukan Asia dilihat mampu memberi impak yang besar dalam semua aspek termasuklah ekonomi dan pembangunan masyarakat akar umbi.

"Namun, kita perlu lakukan penstrukturan semula sukan negara terutamanya membabitkan program latihan atlet bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum kita menjadi tuan rumah.

"Selain itu, kita juga perlu menjenamakan semula MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) untuk menjadikan ia lebih moden dan berteknologi tinggi.

"Ia penting untuk kita melahirkan kepimpinan baharu yang lebih dinamik yang tidak melihat sukan sekadar pertandingan sebaliknya ia sebagai industri yang menguntungkan.

"Saya juga berharap cadangan untuk mewujudkan universiti sukan pertama di Malaysia dapat dilaksanakan. Ia sudah pasti akan memberikan impak besar kepada pembangunan sukan negara termasuklah dari aspek penyelidikan.

"Jadi, saya percaya dalam tempoh 14 tahun lagi, ia adalah tempoh yang cukup untuk kita bersedia tetapi perlu bermula dari sekarang. Sukan Asia adalah realistik kerana ia akan memberi limpahan kepada ekonomi, sosial dan imej yang baik kepada Malaysia," katanya kepada BH Sukan.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia sejak temasya itu diperkenalkan pada 1951.

Malaysia pernah membida untuk menganjurkan temasya itu untuk edisi 2006 tetapi tewas kepada Doha, Qatar yang dipilih selaku tuan rumah.

Hanya tiga negara di Asia Tenggara yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia iaitu Filipina pada 1954, Thailand sebanyak empat kali (1966, 1970, 1978 dan 1998) manakala Indonesia dua kali (1962 dan 2018).

Edisi Sukan Asia seterusnya akan berlangsung di Aichi-Nagoya di Jepun pada 2026 diikuti Doha 2030 dan Riyadh, Arab Saudi 2034.

Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin memutuskan Malaysia menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, memaklumkan keputusan berkenaan diambil kerana kerajaan ketika ini mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai keputusan itu, Sadek, berkata ia adalah tindakan bijak daripada kerajaan dalam menguruskan kepentingan rakyat dan negara.

"Untuk menguruskan temasya sukan besar banyak keperluan yang dipenuhi. Negara seperti Australia pun tidak mampu, apatah lagi Malaysia.

"Dengan tempoh yang terlalu singkat dan keadaan ekonomi, memang kita belum bersedia buat masa ini. Namun, jika masih berhasrat untuk anjur, boleh pertimbangkan Sukan Asia 2038, ia paling realistik.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa.

"Ada masa untuk kita buat persediaan

dalam semua aspek," katanya.

Berita Harian X