Sabtu, 23 March 2024 | 3:40pm
Ahmad Shapawi bimbang dengan masalah kekurangan atlet di peringkat SUKMA. - Foto BERNAMA
Ahmad Shapawi bimbang dengan masalah kekurangan atlet di peringkat SUKMA. - Foto BERNAMA

Kita hadapi masalah kekurangan atlet - Shapawi

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan sukan selepas menolak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Beliau berpandangan pembangunan sukan secara peringkat dalaman dilihat lebih mustahak dalam memastikan Malaysia tidak ketandusan atlet-atlet berbakat pada masa akan datang.

Menurutnya masalah ketidakcukupan penyertaan atlet sehingga sesuatu acara dibatalkan ketika penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA), adalah perkara yang perlu diberi perhatian serius.

"Apa yang penting ketika ini, kita perlu memastikan pembangunan atlet dapat dilakukan dengan lebih agresif dan lebih seimbang di antara negeri.

"Ini supaya kesinambungan dalam aspek penghasilan atlet yang akan meningkatkan persekitaran kompetitif tempatan dalam menghasilkan bakat-bakat baharu," katanya.

Beliau berkata masalah kekurangan atlet di peringkat SUKMA merupakan perkara serius yang memerlukan pendekatan bersepadu pemegang taruh di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi serta kerajaan negeri.

"Sepatutnya setiap negeri telah pun mempunyai Sekolah Sukan Negeri yang setaraf dengan Sekolah Sukan Malaysia. Badan-badan sukan negeri yang lemah akan merencatkan pembangunan atlet di peringkat akar umbi ini.

"Sebaiknya, lebih banyak peruntukan disediakan dalam membantu pembangunan sukan yang bersepadu di setiap peringkat umur sehingga mereka mampu mewakili negara nanti," katanya.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan mengumumkan Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, selepas mesyuarat Jemaah Menteri meneliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

Menurut kenyataan KBS, impak ekonomi daripada penganjuran temasya sukan itu, tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat, selain Kerajaan MADANI mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat buat masa ini.

Sebelum ini, MOM mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan bersama pelaburan kewangan menjangkau £100 juta (RM603 juta), bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas. - BERNAMA

Berita Harian X