Jumaat, 22 March 2024 | 7:21pm

Hashim, Pekan sokong tolak anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad Jen (B) Tun Hashim Mohd Ali menyokong penuh keputusan Malaysia menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Hashim berkata beliau lega kerana kebimbangannya mengenai Malaysia yang tidak berada di kedudukan terbaik dari segi masa dan langkah penjimatan yang sedang dilakukan, untuk menganjurkan temasya sukan empat tahun sekali itu, menjadi antara motif kerajaan menolak tawaran itu.

"Saya sangat lega dengan keputusan kerajaan yang tidak menerima tawaran itu. Sebelum ini apabila saya kata anda tidak boleh melakukannya dalam tempoh dua tahun, tidak bermakna saya kata jangan lakukan dan hari ini Kabinet membuat keputusan untuk tidak menerima tawaran itu.

"Jadi saya menyokong penuh keputusan kerajaan ini, yang tidak menerima tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026," kata bekas Panglima Angkatan Tentera itu ketika dihubungi hari ini.

Turut senada penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli, yang menyifatkan keputusan itu selari dengan kehendak rakyat pada waktu ini.

Beliau secara peribadi turut menghormati keputusan berkenaan kerana ia mendahulukan 'kepentingan umum' berbanding 'kepentingan sukan' di negara ini.

"Tidak perlu ada persoalan lagi (selepas ini) kenapa pula (keputusan) tolak. Kita menolaknya dan faham ini merupakan penolakan secara terhormat daripada rakyat Malaysia, kerana keputusan yang dibuat oleh wakil rakyat mewakili rakyat kita," katanya.

KBS menerusi kenyataan hari ini mengumumkan Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Kabinet yang bermesyuarat hari ini meneliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

Menurut KBS, impak ekonomi daripada penganjuran temasya sukan itu tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat.

Kementerian turut memaklumkan kerajaan Madani mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat buat masa ini.

Sebelum ini, MOM mengesahkan CGF menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bersama pelaburan kewangan menjangkau £100 juta (RM602 juta), bagi menggantikan Victoria (Australia) yang menarik diri tahun lalu. – BERNAMA

Berita Harian X