Jumaat, 22 March 2024 | 5:13pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. NSTP/MIKAIL ONG
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. NSTP/MIKAIL ONG

MOM, CGA hormat keputusan tolak tawaran anjur Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selaku Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia menghormati keputusan Kerajaan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi mempertimbangkan tawaran CGF untuk menjadi tuan tumah selepas kali terakhir Malaysia menganjurkannya pada 1998.

"OCM sebagai CGA Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Belia dan Sukan atas kesudian mempertimbangkan tawaran CGF," kata Norza dalam kenyataan media berkenaan.

Hari ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan kerajaan memutuskan untuk tidak menerima tawaran CGF untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini dan keputusan berkenaan diambil selepas meneliti semua aspek penganjuran dan juga implikasinya.

Ia turut mengambilkira faktor geran penajaan ditawarkan CGF sebanyak 100 juta pound (RM603 juta) yang dijangka tidak mampu membiayai kos penganjuran selain impak ekonomi yang tidak dapat dikenalpasti buat negara dalam jangka masa singkat ini.

Malah antara faktor penolakan antaranya memandangkan kerajaan pada ketika ini mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Selepas mengambil kira semua aspek penganjuran termasuk implikasi kewangan, kami memahami keputusan Kerajaan untuk memberi keutamaan kepada keperluan rakyat," kata Norza.

Berita Harian X