Jumaat, 22 March 2024 | 2:55pm
Birmingham menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022. Penganjuran Edisi 2026 turut ditawarkan kepada Malaysia, namun Jemaah Menteri hari ni putuskan tidak menerima tawaran berkenaan. - NSTP/FAIL
Birmingham menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022. Penganjuran Edisi 2026 turut ditawarkan kepada Malaysia, namun Jemaah Menteri hari ni putuskan tidak menerima tawaran berkenaan. - NSTP/FAIL

Malaysia tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan Malaysia tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan, memaklumkan keputusan berkenaan diambil kerana kerajaan ketika ini mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Delegasi daripada CGF bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 5 Februari 2024.

Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta).

Dana berkenaan bagaimanapun dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar, manakala impak ekonomi juga tidak dapat dikenal pasti dalam jangka singkat ini.

"Kerajaan MADANI mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan itu.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah apabila Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta (RM1.17 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.

Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia (1998) pernah menganjurkan temasya itu.

Berita Harian X