Khamis, 21 March 2024 | 5:23pm
Pemain hoki negara, Adam Ashraf ketika menjalani sesi latihan skuad hoki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pemain hoki negara, Adam Ashraf ketika menjalani sesi latihan skuad hoki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Adam Ashraf optimis tambat hati Sarjit

KUALA LUMPUR: Pemain hoki muda negara Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari yakin kemahiran dan kecergasan dimilikinya mampu menambat hati pengendali skuad kebangsaan Sarjit Singh untuk menjadi sebahagian daripada 'wajah baharu' skuad Speedy Tigers.

Pemain berusia 18 tahun itu berkata beliau dipanggil menyertai kem latihan selama dua minggu menjelang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual pada 4 hingga 11 Mei di Ipoh, Perak.

"Rasa gemuruh sebab nak bersaing dengan pemain senior, tapi kalau ada rezeki adalah... sasaran saya memang nak masuk pasukan senior.

"Saya rasa saya ada kelebihan kemahiran dan saya punya kecergasan, lapan perlawanan diadakan jurulatih tiada masalah bagi saya," katanya sebelum sesi latihan skuad Speedy Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini baru-baru ini.

Pemain kelahiran Kelantan itu berkata beliau agak terkejut apabila dipanggil menyertai kem latihan berkenaan memandangkan sebelum ini tidak beraksi dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini.

Muhammad Adam Ashraf telah bersama skuad kebangsaan pada Piala Dunia Remaja (JWC) 2023 Disember lepas dan telah menyumbang tiga jaringan buat Malaysia ketika menentang Chile, New Zealand dan Belgium.

Seramai 42 daripada 46 pemain yang dipanggil Sarjit telah melaporkan diri, pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan yang bermula Rabu hingga 30 Mac.

Kem latihan itu bertujuan melihat kebolehan setiap pemain sebelum senarai pemain dimuktamadkan kepada 30 orang, bagi membentuk wajah baharu Speedy Tigers bagi mengharungi saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Poland pada 30 Mei hingga 9 Jun.

Kesemua pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk berentap sesama sendiri dalam lapan perlawanan, sebelum senarai penuh skuad negara dikeluarkan pada 1 April. - BERNAMA

Berita Harian X