Selasa, 19 March 2024 | 6:10pm
Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

'Kualiti atlet lebih penting daripada kuantiti'

KUALA LUMPUR: Biar tidak ramai tetapi menang pingat emas.

Itu pandangan disuarakan pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli berhubung saiz kontinjen Malaysia yang kemungkinan dibarisi hanya 20 atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau, berkata apa yang lebih penting adalah atlet yang ke Paris kali ini semuanya berkualiti dan mempunyai potensi untuk menyumbang pingat buat Malaysia.

"Kalau ramai atlet mungkin peluang atau peratusan untuk memenangi pingat itu tinggi tetapi tidak bermakna kita akan dapat.

"Saya tidak suka kalau kita ramai tetapi layak atas tiket wild card, ia ibarat macam pergi ambil bahagian saja. Kalau boleh kita mahu atlet kita layak secara merit.

"Biar kuantiti itu tidak banyak tetapi atlet yang pergi semua berkualiti. Kita tidak mahu nanti bila balik sekadar berpuas hati dengan menimba pengalaman.

"Sukan Olimpik adalah sukan tahap tertinggi, kita mahu atlet yang benar-benar berpotensi memenangi pingat membawa cabaran negara," katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan semalam melaporkan Malaysia kemungkinan besar dibarisi kontinjen paling kecil dalam tempoh 36 tahun pada penyertaan di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan sekurang-kurangnya 20 atlet negara akan melayakkan diri ke temasya itu yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Setakat ini, lima atlet sudah pun mengesahkan tiket ke Paris iaitu atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuhraya).

Jumlah atlet negara ke Paris boleh dianggap satu kemerosotan berbanding edisi sebelum ini yang menyaksikan 30 atlet di Olimpik Tokyo 2020, 32 di Rio (2016), 29 di London (2012), 32 di Beijing (2008), 26 di Athens (2004), 40 di Sydney (2000), 35 di Atlanta (1996) dan 26 di Barcelona (1992).

Penyertaan kontinjen Malaysia paling sedikit adalah pada 1988 di Olimpik Seoul dengan hanya sembilan atlet bertanding manakala paling ramai adalah di Olimpik Tokyo 1964 dengan 62 atlet.

Berita Harian X