Sabtu, 16 March 2024 | 4:16pm
Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Foto fail NSTP
Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Foto fail NSTP

Pelumba trek negara tersingkir awal di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba berbasikal trek negara gagal beraksi pada tahap terbaik mereka apabila tersingkir awal dalam acara masing-masing di Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong, hari ini.

Dua pelumba lelaki, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom masing-masing terkandas di pusingan pertama repechage sekali gus gagal melayakkan diri ke suku akhir saingan yang berlangsung di Velodrom Hong Kong.

Shah Firdaus yang menjadi sandaran negara di Sukan Olimpik Paris 2024 menamatkan perlumbaan saringan enam pusingan pertama repechage di tempat ketiga manakala Ridwan yang beraksi dalam saringan keempat berada di kedudukan kelima.

Hanya dua pelumba terbaik dalam setiap saringan pusingan pertama repechage layak ke suku akhir.

Terdahulu, kedua-dua pelumba berkenaan gagal mara secara automatik ke suku akhir selepas Shah Firdaus sekadar menamatkan perlumbaan pusingan pertama di tempat ketiga (saringan keenam) dan manakala Ridwan kelima (saringan pertama).

Shah Firdaus dan Ridwan berpeluang menebus kekecewaan dalam perlumbaan hari ini apabila mereka beraksi dalam acara pecut individu yang dijadual berlangsung, esok.

Sementara itu, pelumba wanita yang sedang meningkat naik, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pula terkandas di pusingan kelayakan dalam acara pecut individu selepas sekadar mencatat 11.278 saat (s) bagi menghuni kedudukan ke-30 daripada 40 peserta.

Hanya 28 pelumba terpantas daripada pusingan kelayakan layak ke perlumbaan utama.

Nurul Izzah sebelum ini mencipta sensasi apabila dia berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, bulan lalu.

Pelumba berusia 21 tahun itu turut merangkul perak dalam acara pecut berpasukan dan juga gangsa dalam acara pecut.

Berita Harian X