Jumaat, 15 March 2024 | 8:06pm
Suasana meriah di Stadium Alexander pada penutup Sukan Komanwel Birmingham pada 2022. - AFP
Suasana meriah di Stadium Alexander pada penutup Sukan Komanwel Birmingham pada 2022. - AFP

Fikir masak-masak jika mahu anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan secara serius tawaran untuk menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026, kata bekas Pengerusi Sukom Ninety Eight Berhad Jen (B) Tun Mohamed Hashim Mohd Ali.

Mohamed Hashim secara peribadi berpandangan kerajaan perlu menangguhkan hasrat jika benar mahu menganjurkan temasya sukan empat tahun sekali itu kerana Malaysia tidak berada di kedudukan terbaik untuk melakukannya dari segi masa dan langkah penjimatan yang sedang dilakukan kerajaan.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu menganggap tempoh berbaki kira-kira dua tahun terlalu singkat untuk melakukan persiapan intensif sekali gus meragui kemampuan Malaysia mengulangi pencapaian membanggakan sewaktu menjadi tuan rumah buat julung kali pada 1998.

"Masa kita ditawarkan jadi tuan rumah dulu, kita ada empat tahun untuk buat persiapan antaranya menaik taraf venue, mendapatkan penajaan dan menyediakan infrastruktur. Kali ini diberi tempoh dua tahun saja...kalau nak buat betul-betul dan setaraf dengan edisi 1998 saya rasa tak boleh sebab waktunya singkat.

"Kalau ada empat tahun kita boleh dapatkan penaja, itu yang dilakukan sebelum ini dan kerajaan terpaksa buat, kita tubuh sebuah syarikat iaitu Sukom 98 yang mengendalikan temasya itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika mahu menganjurkannya sendiri, kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah bajet yang besar bagi menampung pelaburan kewangan menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) yang hadir bersama tawaran diberikan.

Namun katanya dengan kedudukan ekonomi ketika ini perkara itu dilihat akan membuka pintu kepada pengkritik.

"Kalau ada begitu banyak wang tujukan kepada rakyat, manfaatkan mereka dengan membina hospital ataupun sekolah. Kalau buat (anjurkan) terbuka nanti pintu untuk orang katakan ini tak sesuai kerana kerajaan gunakan wang sebanyak itu untuk perkara lain dan bukannya rakyat.

"Kenapa Australia (Victoria) tak mahu, mesti mereka ada sebab-sebabnya, jadi saya rasa kita pun tak perlu terkejar-kejar untuk anjurkannya pada 2026, belum lagi, sekarang terlalu suntuk untuk melakukan persiapan," kata figura berusia 89 tahun itu.

Isnin lepas, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, Rabu lepas berkata keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau tidak akan dibincangkan di Kabinet, minggu depan.

Nasib Sukan Komanwel 2026 kekal menjadi tanda tanya selepas Victoria, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 itu, menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17 hingga 29 Mac, 2026.

Bukan sahaja Victoria, India juga tidak berminat untuk menjadi pengganti bagi edisi 2026 selain wilayah Alberta di Kanada turut menarik diri daripada proses bidaan Sukan Komanwel 2030 selepas seminggu Victoria mengumumkan menarik diri.

Dari 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli CGF, hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia pernah menjadi tuan rumah.

– BERNAMA

Berita Harian X