Selasa, 12 March 2024 | 4:48pm
Sarjit (kiri) dan Najmi pada sidang media pengumuman senarai pemain ke kem latihan pusat skuad hoki negara.
Sarjit (kiri) dan Najmi pada sidang media pengumuman senarai pemain ke kem latihan pusat skuad hoki negara.

Sarjit 'halang' Faizal gantung kayu hoki

KUALA LUMPUR: Faizal Saari boleh melupakan hasrat untuk bersara apabila dia antara 46 pemain yang disenaraikan menyertai kem dan pemilihan skuad hoki kebangsaan.

Penyerang itu antara enam pemain senior iaitu Fitri Saari, Muhammad Hafizuddin Othman dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran yang dipanggil ketua jurulatih, Sarjit Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Najmi Razak berharap 46 pemain yang terpilih menunjukkan prestasi terbaik mereka untuk menyarung jersi Speedy Tigers.

"Sebelum ini kita mempunyai keputusan yang teruk, satu perjalanan yang ada turun naiknya. Harapan saya kepada 46 pemain ini, anda sudah diberikan peluang bermain dan peluang bersama pasukan kebangsaan... ini bukan mudah.

"Ambil peluang ini, berjuang untuk berada dalam pasukan dan mendapatkan tempat kamu. Sebab pada masa sekarang ini, kamu akan bersaing dengan yang lain, selepas itu berlawan dengan pasukan lebih baik.

"Jadi ambil peluang ini, saya tak mahu dengar daripada 46 pemain ini... saya ada pengalaman sebelum ini, ada yang yang mempunyai masalah peribadi dan macam-macam lagi. Ini peluang keemasan diberikan jurulatih.

"Kalau tak gunakan, kita takkan panggil lagi, kita sudah penat. Kalau tak nak ambil peluang ini, kita akan ambil pemain lain yang bersedia untuk berjuang," kata Najmi dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Daripada senarai itu, hanya enam pemain dipanggil yang berusia 29 tahun ke atas dengan jumlah paling ramai adalah dalam lingkungan 22 hingga 25 tahun iaitu seramai 18 orang.

"(Senarai baharu) Ini untuk jangka panjang, setiap kali jurulatih baharu mengambil pasukan, mesti ada perancangan empat hingga enam tahun. Kita akan bagi peluang kepada pemain.

"Yang muda akan menjadi pemain lebih baik menerusi disiplin dan dalam padang. Perlu buktikan kamu layak sarung jersi negara. Saya tak kata pemain lama itu tak bagus tetapi perlu tahu yang umur 32-33 pada tempoh kita rancangkan sudah lagi berusia.

"Jadi sekiranya ada pemain muda yang boleh menggalas tugas, kita akan ambil mereka," kata Sarjit.

Berita Harian X