Isnin, 11 March 2024 | 10:29pm
Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. FOTO ARKIB NSTP
Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. FOTO ARKIB NSTP

Malaysia perlu berani ambil risiko anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Malaysia harus berani mengambil risiko dengan menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Walaupun penganjuran Sukan Komanwel bakal menelan kos perbelanjaan tinggi, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berpendapat pelaburan kewangan 100 juta pound (anggaran RM602 juta) daripada CGF bagi menyokong perancangan menganjurkan edisi 2026 akan mengurangkan beban kewangan menganjurkan temasya sukan itu.

"Kalau kita kaji balik bukan risiko terlalu tinggi lebih-lebih lagi dengan suntikan kewangan daripada CGF. Kita tidak akan maju jika asyik cenderung cari jalan mudah atau keberatan menggalas cabaran kerana mana-mana negara hanya akan maju jika berani ambil risiko dengan menimbang faktor-faktor secara positif.

"Jadi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya wajar mendalami segala aspek tersebut dalam menyediakan kertas kerja kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta keputusan (jadi penganjur Sukan Komanwel 2026)," katanya.

Dr Ramlan berkata Malaysia perlu bijak menguruskan perbelanjaan penganjuran Sukan Komanwel 2026 hasil daripada suntikan kewangan diberikan CGF dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan venue sedia ada, penyediaan pengangkutan dan pembayaran elaun pegawai serta petugas terlibat.

Beliau berkata Malaysia juga bakal mendapat pembiayaan kos dari negara peserta memandangkan tuan rumah tidak perlu menanggung kos penyertaan atlet negara lain seperti tempat tinggal, makanan dan penerbangan atlet serta pegawai masing-masing yang menjadi tanggungjawab mereka sendiri.

"Negara bertanding menerusi Majlis Olimpik mereka perlu membayar kos penyertaan setiap atlet mereka kepada penganjur, jadi faktor tersebut juga akan diambil kira sekiranya kita mahu mengambil alih hak menjadi tuan rumah edisi 2026 dari Victoria," katanya.

Berbaki kira-kira dua tahun sebelum Sukan Komanwel 2026, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) itu berkata Malaysia tidak perlu bimbang dengan mutu penganjuran acara sukan itu memandangkan Malaysia memiliki pegawai berkaliber dan berpengalaman luas terlibat dalam pelbagai kejohanan serta temasya sukan besar sebelum ini.

"Saya sendiri ketika terlibat selaku pegawai perubatan Piala Dunia Hoki 2023 di India, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan terbaru Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di sini sedia maklum ramai lagi individu dari Malaysia yang berprofil tinggi terlibat menjadi pegawai teknikal serta pegawai pengurusan, jadi saya rasa tiada masalah dari segi penyediaan pegawai," katanya.

Dr Ramlan berkata tahap kesediaan atlet juga bukanlah menjadi isu memandangkan program disertai seperti Program Podium membantu mereka bersiap sedia sepanjang masa mewakili negara pada mana-mana kejohanan serta temasya sukan disertai.

Beliau berkata situasi ketika ini sangat berbeza sewaktu negara menjadi hos Sukan Komanwel 1998 memandangkan Malaysia terpaksa bermula dari bawah membimbing atlet beraksi dalam sukan seperti boling padang dan gimnastik berirama agar dapat mencapai standard diperlukan pada temasya sukan tersebut.

"...kini kita bertaraf dunia dalam acara boling padang. Hujahan bahawa anda memerlukan sekitar lima hingga enam tahun untuk menyediakan atlet bukan lagi alasan kukuh," katanya.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan telah memulakan perbincangan dengan KBS berhubung kemungkinan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, bulan lepas.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan sama berkata CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang 'sekali seumur hidup' itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.

Sabtu lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.

Status Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas Victoria, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 menarik diri Julai tahun lepas disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (sekitar RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta bagi pelanggaran kontrak kerana gagal menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan dari 17 hingga 29 Mac 2026. - BERNAMA

Berita Harian X