Isnin, 11 March 2024 | 4:30pm
Mirnawan secara rasmi tidak lagi jadi pengurus pasukan Speedy Tigers.
Mirnawan secara rasmi tidak lagi jadi pengurus pasukan Speedy Tigers.

Mirnawan mahu beri peluang kepada orang lain

KUALA LUMPUR: Pembubaran dilakukan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terhadap skuad hoki lelaki kebangsaan bermakna keseluruhan pasukan kembali bermula dari 'kosong' dan ia termasuk jawatan pengurus pasukan yang sebelum ini disandang Datuk Mirnawan Nawawi.

Skuad The Speedy Tigers dibubarkan pada Januari lalu selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan perkembangan terbaharu menyaksikan Sarjit Singh dipilih bagi mengambilalih tugas ketua jurulatih yang sebelum ini disandang Arul Selvaraj.

Mirnawan berkata, proses itu adalah prosedur yang biasa dilakukan selepas kitaran Olimpik berakhir dan baginya, Sarjit dan pasukan harus diberikan peluang untuk merangka perancangan terbaik bagi mengakhiri kemarau penantian ke Olimpik selepas kali terakhir layak beraksi di Sydney 2000.

"Kitaran (Olimpik Paris 2024) sudah tamat, maka tamatlah perkhidmatan dalam pasukan hoki kebangsaan. Kita tak layak untuk 2024 dan sekarang ini fokus tertumpu untuk (Los Angeles) 2028.

"Ketua jurulatih kebangsaan juga sudah diumumkan untuk mengambilalih tugas Arul Selvaraj. Buat masa ini, tak ada apa-apa lagi berita mengenai pengurus pasukan, penolong jurulatih, pasukan sokongan dan juga pemain... belum lagi diumumkan oleh ketua jurulatih. Jadi kalau dilihat, secara rasminya, saya tidak lagi sebagai pengurus pasukan hoki kebangsaan," kata Mirnawan.

Ditanya sekiranya beliau bersedia untuk menggalas tugas sebagai pengurus pasukan, Mirnawan tidak menolak namun secara peribadinya memikirkan supaya jawatan itu diberikan peluang kepada kepada individu lain.

"Itu belum pasti lagi sama ada saya meneruskan atau tidak dan ia sebenarnya terpulang kepada KHM. Namun bagi saya, mungkin kalau ditawarkan, saya akan mempertimbangkan tetapi dengan kitaran baharu (Olimpik), mungkin boleh diberikan peluang kepada individu lain untuk menjadi pengurus pasukan," katanya.

Skuad Speedy Tigers sebelum ini gagal dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia yang kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di tempat kelima.

"Bagi saya, siapa tak mahu ke Olimpik. Itu impian semua pemain untuk beraksi di Olimpik. Tapi mungkin semangat sahaja tak mencukupi. Apa yang kita sudah lakukan belum mencukupi apabila kita tewas walaupun kalau dilihat dari segi persiapan, sokongan daripada KHM, MSN, KBS, ISN dan sebagainya begitu baik sebenarnya.

"Namun kita masih lagi gagal, bagi saya kita belum cukup baik di Sukan Asia dan kelayakan Olimpik sebelum ini. Jadi kita kena gali dan tengok apakah yang diperlukan lagi untuk layak ke Sukan Olimpik 2028," katanya yang mengharapkan Sarjit diberikan ruang masa dan peluang untuk membimbing pasukan selepas ini.

"Pada masa ini, kita perlu adil dan memberikannya masa untuk mengkaji, melakar satu program untuk membentuk sebuah pasukan hoki kebangsaan yang dapat memberi cabaran di kejohanan yang akan dilalui nanti.

"Bagi peluang untuknya membina semula dan bagi saya, semua peminat dan komuniti hoki harus memberikan Sarjit masa... kita tak boleh untuk menunjukkan sesuatu hanya pada satu malam, ia mengambil satu proses," katanya.

Berita Harian X