Sabtu, 9 March 2024 | 7:07pm
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memasang obor digital melancarkan SUKMA XXI di Kuching, hari ini. NSTP/MOHD ROJI KAWI
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memasang obor digital melancarkan SUKMA XXI di Kuching, hari ini. NSTP/MOHD ROJI KAWI

Sarawak janji SUKMA XXI terbaik

KUCHING: Sarawak berikrar untuk menjadikan temasya Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) dan Para SUKMA yang akan diadakan di negeri ini, Ogos depan sebagai penganjuran terbaik pernah diadakan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, dengan pengalaman dua kali menganjurkan temasya sukan terbesar Malaysia itu sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016, beliau yakin penganjuran kali ini akan berjalan lancar.

Menurutnya, Sarawak teruja apabila diberi peluang kali ketiga oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan temasya itu yang terbesar sejak SUKMA bermula pada tahun 1986.

"Ini adalah penghormatan yang besar dan kita bersedia untuk memastikan penganjuran SUKMA kali ini adalah yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Majlis Pelancaran SUKMA XXI Sarawak 2024 yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari berkata, SUKMA XXI dan Para SUKMA 2024 di Sarawak bukan sekadar acara sukan tetapi juga membawa harapan baharu, semangat persaudaraan dan inspirasi kepada semua rakyat Malaysia.

"Sukan bukan hanya sekadar acara pertandingan, tetapi ia juga menjadi wadah pembinaan karakter, kepimpinan pengurusan dan semangat kesukanan yang tinggi.

"SUKMA XXI dan Para SUKMA adalah platform untuk memupuk kecemerlangan, semangat persaingan yang sihat, dan kekuatan bersatu padu dalam kalangan atlet-atlet muda negara," katanya.

Menurutnya lagi, melalui pencapaian dan kejayaan di dalam gelanggang sukan, atlet tidak hanya mengejar kecemerlangan tetapi juga memupuk semangat kebersamaan dan meleburkan perbezaan serta mengukuhkan jalinan persaudaraan dalam kalangan rakyat

Malaysia.

"SUKMA XXI akan menghimpunkan lebih 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri termasuk penyertaan pasukan Brunei untuk membawa bersama semangat kebangsaan seterusnya mengukuhkan perpaduan Malaysia," katanya.

Temasya SUKMA XXI mempertandingkan 37 sukan bersamaan dengan 490 acara keseluruhan.

Penganjuran akan dikelolakan di sembilan bahagian iaitu di Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching.

Bandaraya Kuching akan menjadi gelanggang kepada 25 jenis sukan, Samarahan (3), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6).

Berita Harian X