Sabtu, 9 March 2024 | 12:46pm
Hannah (tengah) menyertai senamrobik selepas melancarkan Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Dataran Perumahan Awam Seri Selangor, Cheras, hari ini.
Hannah (tengah) menyertai senamrobik selepas melancarkan Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Dataran Perumahan Awam Seri Selangor, Cheras, hari ini.

KBS lancar Program Senamrobik Komuniti percuma

KUALA LUMPUR: Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Program Senamrobik Komuniti yang memberi tumpuan awal kepada 43 Projek Perumahan Awam (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menariknya, program berkenaan diberikan secara percuma oleh KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan membabitkan peruntukan RM430,000 bagi 43 kawasan untuk tempoh setahun.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, melalui program ini, pembayaran yuran untuk jurulatih dibayar oleh KBS dan perkhidmatan ini diberikan percuma sepanjang tahun untuk penduduk PPR.

"Ia (program) adalah untuk menambahkan kebolehcapaian rakyat kepada aktiviti sukan dan memastikan mereka tak perlu bayar dan senang untuk mereka khasnya kaum ibu dan warga emas, turun dari rumah mereka dan beriadah.

"Ada beberapa PPR yang menolak... tak mahu tetapi kejayaan program ini sangat bergantung kepada persatuan penduduk dan rukun tetangga dan juga Ahli Parlimen masing-masing untuk memastikan program ini dapat berjalan setiap minggu.

"Hasrat saya, kalau ia berjaya di kawasan Kuala Lumpur, kita nak tengok bagaimana kita boleh pertingkatkan lagi di negeri-negeri lain. Kenapa pilih PPR di Kuala Lumpur? Ini kerana PPR memang padat penduduk dan kurang kawasan rekreasi.

"Melalui fasiliti yang dibiayai ini, saya harap warga emas khususnya boleh mempunyai gaya hidup sihat. Kalau kita lihat 'trainer' (jurulatih) yang bersama dengan kami ini mempunyai pengetahuan meluas mengenai senamrobik dan kita pastikan ia sesuai untuk semua lapisan umur. Tak kira kanak-kanak ataupun warga emas.

"Kita nak jadikan ia gaya hidup. Itu sebab satu kali sahaja, ia tak akan berjaya. Kita tak nak jadikan program ini 'one off', kita nak sepanjang tahun. Ini untuk mereka mengubah kepada gaya hidup sihat," kata Hannah kepada media selepas melancarkan Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Dataran Perumahan Awam Seri Selangor, Cheras, hari ini.

Bagi memberi galakan kepada kejayaan dan kelangsungan program, Hannah turut menawarkan hadiah RM20,000 kepada persatuan penduduk yang aktif.

"Saya menawarkan RM20,000 daripada peruntukan menteri untuk menilai pada hujung tahun ini, manakah persatuan penduduk yang paling berjaya untuk mengaktifkan penduduk untuk turun (Program Senamrobik Komuniti). Lokasi atau masa (penganjuran) itu semua bergantung kepada persatuan penduduk yang mana sesuai dengan mereka.

"Saya juga cadangkan kepada semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur ini, untuk turun bersama bagi meninjau keadaan dan melaluinya, mereka boleh memberikan cadangan penambahbaikan dan menambah keperluan fasiliti untuk semua," katanya.

Antara objektif Program Senamrobik Komuniti bertujuan untuk menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan selain memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta serta pembabitan NGO belia, Sukan dan Gabungan Majlis Persatuan Penduduk.

Program akan diadakan secara mingguan (hujung minggu) di setiap 43 buah PPR/PA di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula pada bulan ini sehingga Disember 2024 dengan pengisian 44 buah siri senamrobik secara percuma di lokasi berkenaan.

Berita Harian X