Khamis, 7 March 2024 | 4:33pm
Humaira akan sertai dua kejohanan besar tahun ini.
Humaira akan sertai dua kejohanan besar tahun ini.

Humaira intai gegar pentas lebih berprestij

KUALA LUMPUR: Selepas memenangi pingat emas di Sukan SEA Kemboja tahun lalu, atlet taekwondo wanita, Nur Humaira Abdul Karim mengintai peluang mencipta kejayaan di pentas yang lebih besar.

Atlet berusia 22 tahun itu, berkata fokus dia ketika ini adalah untuk menghasilkan keputusan positif di Kejohanan Taekwondo Asia yang dijadual berlangsung di Vietnam pada Mei depan.

Katanya, dia sedang giat menjalani latihan untuk kejohanan itu yang bakal menampilkan atlet terbaik di rantau Asia.

"Tumpuan saya pada tahun ini sememangnya adalah Kejohanan Taekwondo Asia selain Kejohanan Poomsae Dunia. Saya letak sasaran untuk berada dalam kedudukan lapan terbaik di kedua-dua kejohanan ini.

"Untuk Kejohanan Asia, selaku tuan rumah, Vietnam memang ada kelebihan dan kuat. Kejohanan ini memang kompetitif terutamanya membabitkan atlet Vietnam dan Thailand.

"Sekarang saya tak mahu fikirkan sangat saingan di sana, hanya fokus kepada latihan dan saya juga berada pada tahap terbaik tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang merangkul gelaran Olahragawati Universiti Malaya pada Anugerah Sukan UM (MASUM) 2023, malam tadi.

Humaira mencipta kejutan di Kemboja apabila memenangi acara poomsae individu wanita ketika dia tidak meletakkan harapan tinggi.

Dia turut meraih perak menerusi acara berpasukan wanita bergandingan bersama kakaknya, Nurul Hidayah dan Lim Jia Wei dengan emas milik Filipina dan gangsa diraih Thailand.

Humaira berharap dia terpilih untuk beraksi di Sukan SEA Thailand tahun depan sekali gus cuba mempertahankan emas yang dimenangi di Kemboja tahun lalu.

"Apapun segala keputusan terletak di tangan jurulatih. Saya hanya mahu persiapkan diri sendiri dengan fokus ketika latihan," katanya.

Berita Harian X