Selasa, 5 March 2024 | 5:15pm
UiTM Cawangan Selangor mengumpul 28 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa. - Foto ihsan UiTM Cawangan Selangor
UiTM Cawangan Selangor mengumpul 28 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa. - Foto ihsan UiTM Cawangan Selangor

UiTM Cawangan Selangor juara KARISMA

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor jelas belum menemui pencabar dalam Karnival Sukan Mahasiswa (KARISMA) selepas mereka menjuarai edisi 2024 sekali gus mempertahankan kejuaraan sembilan tahun berturut-turut.

Kemenangan ini dilakar hasil semangat juang tidak pernah luntur dalam kalangan atlet UiTM Cawangan Selangor yang terus memastikan gelaran itu kekal di tangan mereka.

UiTM Cawangan Selangor menoktahkan kemenangan selepas menghimpun 28 pingat emas, 14 pingat perak dan 12 pingat gangsa.

UiTM dalam satu kenyataan menjelaskan, kemenangan itu diraikan dengan penuh gemilang oleh Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman pada majlis penutup yang dirasmikan Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Profesor Dr Yamin Yasin.

Pencapaian ini disifatkan dapat membantu UiTM Selangor untuk terus mencipta kejayaan bukan hanya dalam bidang sukan tetapi juga dalam semua aspek kehidupan, akademik dan sosial.

"UiTM sentiasa mengiktiraf dan menggalakkan bakat-bakat dalam kalangan pelajar dan kejayaan ini bukan hanya menandakan kecemerlangan atlet tetapi juga semangat kesukanan yang berkobar dalam kalangan komuniti UiTM Cawangan Selangor.

"Momentum kemenangan ini pastinya akan memperkukuh semangat dan keazaman pelajar UiTM Cawangan Selangor untuk terus menonjolkan prestasi dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang," kata UiTM.

Sebagai rekod, KARISMA 2024 berlangsung selama sembilan hari bermula 25 Februari hingga 4 Mac di UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

Sebanyak 14 kontinjen daripada seluruh UiTM berentap bagi edisi kali ini.

Berita Harian X