Selasa, 5 March 2024 | 4:57pm
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

MPM sasar 4 emas dari Paralimpik Paris

KUALA LUMPUR: Kontinjen para negara memburu angka keramat 10 apabila menyertai Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 9 September depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, berkata pihaknya menetapkan sasaran untuk atlet para membawa pulang sekurang-kurangnya empat lagi emas di Paris.

Katanya, jika sasaran itu dicapai, ia akan menyaksikan kontinjen negara berjaya mengumpul keseluruhan 10 emas sejak temasya Paralimpik di Rio 2016 dan Tokyo 2020.

"Ini adalah sasaran awal kami (MPM), kita perlu letak penanda aras supaya kita tahu ke mana arah tuju kita. Kalau tidak letak sasaran maknanya kita boleh leka atau berasa selesa, saya tidak mahu itu berlaku.

"Sasaran itu penting kerana ia akan menjadi satu garis panduan untuk atlet bekerja keras. Jika tidak ada sasaran, saya tidak mahu nanti rakyat cakap kita pergi untuk bercuti...habiskan duit rakyat.

"Kita perlu ada akauntabiliti untuk setiap atlet dan kami juga di sini. Kami perlu memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu harus berbaloi kerana ia adalah duit rakyat, itu yang paling penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) MPM dan Rakan Strategik TambahEMAS Paralimpik Paris 2024, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang tiga emas di Paralimpik Rio 2016 dan di Tokyo 2020.

Sementara itu, Megat optimis Malaysia akan dibarisi lebih daripada 20 atlet bagi menggalas cabaran negara di Sukan Paralimpik tahun ini dengan sembilan atlet sudah pun melayakkan diri ke temasya di Paris itu.

Beliau, berkata sembilan atlet berkenaan terdiri daripada tiga atlet berbasikal selain masing-masing dua daripada sukan renang, memanah dan olahraga.

Dalam perkembangan lain, Megat turut memaklumkan pihak polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan jurulatih para renang negara.

Katanya, seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini, jurulatih itu sudah pun direhatkan sehinggalah siasatan selesai.

Sebelum ini, Megat mengesahkan seorang jurulatih para disiasat kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.

Berita Harian X