Isnin, 4 March 2024 | 6:03pm
Rafiq kini berkedudukan nombor satu Asia buat tahun ketiga berturut-turut. - Foto FB Rafiq Ismail
Rafiq kini berkedudukan nombor satu Asia buat tahun ketiga berturut-turut. - Foto FB Rafiq Ismail

Rafiq sasar juara Tenpin Boling Asia

KUALA LUMPUR: Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail memburu gelaran juara di Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024 di Bangkok, Thailand pada September depan bagi mengukuhkan kedudukannya selaku pemain nombor satu Asia.

Selain juara dalam acara perseorangan, atlet berusia 26 tahun itu turut mengintai peluang untuk mempertahankan kejuaraan bagi acara berpasukan yang dimenangi tahun lalu di Hong Kong bersama Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol.

"KPI (petunjuk prestasi utama) saya tahun ini adalah Kejohanan Asia. Secara peribadi sudah tentu saya menyasarkan juara dalam acara perseorangan tetapi ia akan jadi lebih bermakna jika turut berjaya muncul juara acara berpasukan bersama rakan-rakan.

"Kalau bermain dalam acara berpasukan, semua dapat merasa dan menang sama-sama. Vibe happy dengan rakan-rakan lain berbanding berseorangan," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1, di sini, hari ini.

Selain acara berpasukan, Rafiq turut merangkul emas dalam tiga acara lagi di Hong Kong iaitu Masters, All Events serta trio bergandingan dengan Timmy dan Ahmad Muaz.

Mengulas mengenai persaingan dalam kejohanan di Bangkok nanti, Rafiq, berkata dia perlu berwaspada dengan peningkatan dipamerkan atlet dari Korea Selatan, Singapura dan Filipina.

"Filipina ada atlet yang meningkat naik. Kami juga tidak boleh memandang rendah negara lain, kadang-kadang kalau kita rasa negara itu tidak perform namun hari pertandingan mereka beraksi baik," katanya.

Pada masa sama, Rafiq menegaskan dia perlu menampilkan prestasi terbaiknya dalam lima kejohanan sebelum Kejohanan Asia tahun ini bagi merebut tempat ke Bangkok.

Berdasarkan ranking Persekutuan Boling Asia, Muhammad Rafiq kini memegang status sebagai pemain nombor satu di Asia buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2021 dengan mengumpul 442 mata.

Berita Harian X