Isnin, 4 March 2024 | 5:31pm
Wan Muhammad Haikal meninggal dunia, pagi semalam.
Wan Muhammad Haikal meninggal dunia, pagi semalam.

Pesilat Terengganu diberi tempoh bertenang

KUALA TERENGGANU: Bagi menghormati pemergian atlet silat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, semua pesilat negeri ini diberi tempoh bertenang selama lima hari.

Semalam pesilat yang bakal beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.20 pagi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Terdahulu atlet berusia 21 tahun itu yang menjadi sasaran pingat buat kontinjen Terengganu di Sarawak pada Ogos ini rebah ketika bertempur dengan pihak lawan di peringkat suku akhir Kejohanan Pra-SUKMA di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat, Negeri Sembilan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, tempoh rehat hampir seminggu itu sebagai menghormati pemergian atlet berbakat besar dalam sukan silat itu.

"Pihak MSNT membenarkan semua pesilat Terengganu yang bakal bertarung di pentas SUKMA edisi ke-21 nanti diberi tempoh rehat selama lima hari sehingga 9 Mac ini.

"Tempoh itu sebagai menghormati pemergian arwah Muhammad Haikal selain tempoh bertenang buat semua atlet yang mungkin terkejut dengan kematian atlet itu.

"Kita mengharapkan atlet yang sudah berada di fasa akhir sebelum bertarung dalam kejohanan itu nanti tidak patah semangat sebaliknya teruskan berlatih seperti biasa untuk memburu seberapa pingat dalam temasya SUKMA itu," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahrizal berkata, pihaknya akan melakukan proses tuntutan insurans arwah sebagaimana polisi yang dibuat sebelum ini.

Jenazah anak keempat daripada lima beradik itu yang bakal beraksi dalam Kategori Putra I (85-90 kilogram) itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Besut kira-kira jam 10 malam dengan dihadiri lebih 200 masyarakat setempat termasuk ahli keluarga, rakan-rakan serta pihak MSNT.

Berita Harian X