Isnin, 4 March 2024 | 3:11pm
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) bersama Ketua Jurulatih Hoki Malaysia, Sarjit Singh ketika sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil. NSTP/AIMAN DANIAL
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) bersama Ketua Jurulatih Hoki Malaysia, Sarjit Singh ketika sidang media di Stadium Hoki Bukit Jalil. NSTP/AIMAN DANIAL

Sarjit perlu masa bentuk Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh berkata fokus utama dalam dua tahun ini adalah bagi membentuk pasukan terkuat untuk menghadapi Sukan Asia Aichi-Nogaya 2026.

Sarjit dalam sidang media pertamanya selaku jurulatih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini, berkata dia memerlukan tempoh 14 hingga 18 bulan untuk membentuk sebuah skuad yang mantap.

Katanya, dia akan memanggil seramai 40 hingga 42 pemain bagi menyertai kem latihan pertama skuad kebangsaan pada 19 Mac ini.

"Apa yang penting ketika ini adalah untuk pastikan pasukan bersedia untuk Sukan Asia yang datang (Osaka).

"Kita akan mulakan latihan pusat bermula 19 Mac ini dengan lingkungan 40 hingga 43 pemain bakal dipanggil, termasuk pemain-pemain senior. Walaupun sudah berusia, jika masih mampu menampil aksi terbaik, mengapa tidak.

"Bagaimanapun, kita memerlukan tempoh lebih kurang 14 hingga 18 bulan untuk tahu kemampuan sebenar pemain," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Dalam pada itu, Sarjit yang juga bekas kapten skuad kebangsaan, berkata dia menjadikan disiplin serta kerja keras sebagai keutamaan dalam misinya membentuk skuad Speedy Tigers terbaik.

"Antara ciri-ciri pemain yang saya perlukan adalah disiplin serta kerja keras, itu adalah perkara paling penting. Saya mahu lihat perkara itu di dalam dan luar padang," katanya.

Semalam, KHM mengumumkan pelantikan Sarjit selaku ketua jurulatih yang baharu bagi menggantikan tempat Arul Selvaraj.

Sarjit sebelum ini pernah menerajui pasukan kebangsaan pada Januari 2007 hingga Disember 2008.

Ketika bergelar pemain, Sarjit turut meraih dua gangsa Sukan Asia di New Delhi 1982 dan Beijing 1990.

Sarjit turut diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan dari 1987 hingga 1993 dan pernah beraksi dua kali di temasya Olimpik Los Angeles dan Olimpik Barcelona 1992.

Berita Harian X