Isnin, 4 March 2024 | 1:01pm
Adam Adli ketika menyertai Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini. - Foto ihsan MSN
Adam Adli ketika menyertai Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini. - Foto ihsan MSN

KBS tunggu laporan penganjur susulan kematian pesilat

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu laporan penuh daripada pihak penganjur susulan kematian pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, berkata insiden itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak mengenai betapa pentingnya untuk memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dan Kod Sukan Selamat dipatuhi dalam sebarang penganjuran kejohanan.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga. Dalam perkara ini, kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

"Pihak penganjur iaitu PESAKA (Persekutuan Silat Kebangsaan) dan PESAKA Negeri Sembilan akan mengeluarkan laporan mengenai perkara ini.

"Kejohanan ini adalah inisiatif mereka untuk Pra SUKMA (Sukan Malaysia), jadi mereka akan keluarkan laporan tentang perkara ini.

"Kita harap perkara ini akan menjadi tanda aras betapa pentingnya untuk kita pastikan pematuhan SOP dan pematuhan Kod Sukan Selamat untuk apa-apa bentuk penganjuran demi keselamatan atlet dan persekitaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perhimpunan Atlet Podium Fasa Satu di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Allahyarham Wan Muhammad Haikal, 21, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan pra pemilihan SUKMA di Dewan Komuniti Taman Coral Height, di Seremban.

Setiausaha Agung PESAKA, Bibi Aishah Golbal Shah dalam laporan Bernama, berkata Wan Muhammad Haikal telah jatuh dalam gelanggang dan kepalanya terhentak ke lantai ketika pertandingan.

Berita Harian X