Ahad, 3 March 2024 | 3:32pm
Bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh dilantik ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan yang baharu. - Foto fail NSTP
Bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh dilantik ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan yang baharu. - Foto fail NSTP

Sarjit ganti Arul bimbing Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh dipilih sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan yang baharu, menggantikan tempat Arul Selvaraj.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata Sarjit diberikan kontrak selama dua tahun bagi membimbing skuad Speedy Tigers.

Katanya, KHM bersama barisan jawatankuasa kejurulatihan yang diketuai Datuk Majid Manjit Abdullah sebulat suara bersetuju dengan pelantikan berkenaan.

"Perlantikan Sarjit dipersetujui oleh semua jawatankuasa dengan semua ahli memberi input dan pandangan masing-masing sebelum KHM membuat keputusan memilih Sarjit.

"Pemilihan Sarjit adalah berdasarkan beberapa faktor dan saya yakin beliau mampu untuk kembali meletakkan pasukan negara lebih kompetitif dan lebih baik pada masa hadapan.

"KHM akan memberi kepercayaan dan sokongan penuh buat Sarjit mengendalikan skuad negara," katanya.

Menurut Subahan, badan induk itu buat masa ini tidak meletakkan sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) kepada Sarjit kerana mahu memberikan masa untuk jurulatih berkenaan membentuk pasukan.

"Kita perlu berikan beliau masa kerana kejayaan tidak akan berlaku dalam masa satu hari. KHM akan beri peluang untuk Sarjit membentangkan perancangan dan idea.

"Beri beliau ruang untuk selesaikan dulu apa yang patut terutama dalam urusan pemilihan pemain dan kakitangan yang diperlukannya.

"Mungkin dalam masa dua tahun ini keputusan akan dapat dilihat dan MH percaya dia boleh membawa pemain ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sarjit yang kini menjadi jurulatih pasukan negeri Johor, pernah menerajui pasukan kebangsaan dari Januari 2007 hingga Disember 2008.

Dia juga pernah melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.

Seramai 23 jurulatih - lima warga tempatan dan 18 warga asing - memohon jawatan itu dengan empat calon disenarai pendek untuk proses temu duga.

Empat daripada mereka ialah Sarjit dan bekas jurulatih kebangsaan K Dharmaraj, Glenn Turner dari Australia dan Brendon Caralon dari Afrika Selatan.

Speedy Tigers akan melalui tiga kejohanan tahun ini - Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (4-11 Mei), Piala Negara-negara di Gniezno, Poland (31 Mei- 9 Jun) dan Piala Juara-Juara Asia, Kota Hulunbuir, Mongolia Dalam (mulai 8-17 September).

Berita Harian X