Ahad, 3 March 2024 | 11:19am
Atlet Sukma Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin.
Atlet Sukma Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin.

Pesilat Terengganu meninggal dunia ketika bertarung

SEREMBAN: Sukan silat tempatan kehilangan atlet berbakat apabila Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, dekat sini, petang semalam.

Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu itu, difahamkan rebah terkena tendangan lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda ketika dihubungi berkata, keluarga dimaklumkan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.

"Jurulatih hubungi ayah maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.

"Tapi saya tak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan lebih kurang jam 2.30 pagi kami diberitahu yang dia telah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti," kata Nor Haslinda.

Menurutnya, Allahyarham adalah anak keempat daripada lima beradik dan berada di Seremban untuk persiapan Sukma sejak Jumaat lalu.

Katanya, kedua ibu bapa serta adiknya kini berada di HTJ untuk menunggu laporan post mortem jenazah Allahyarham.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban berkata, mangsa dikatakan sudah tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan sudah diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

"Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit dan serta merta terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.

"Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus di bawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan pada masa sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan pesakit meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTJ awal pagi tadi," katanya.

Berita Harian X