Jumaat, 1 March 2024 | 5:29pm
Pelumba berbasikal wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir (tengah) berbual dengan ketua kontinjen Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) sambil diperhatikan timbalan ketua kontinjen Datuk Nicol David di Velodrom Nasional, Nilai hari ini. – Foto BERNAMA
Pelumba berbasikal wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir (tengah) berbual dengan ketua kontinjen Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) sambil diperhatikan timbalan ketua kontinjen Datuk Nicol David di Velodrom Nasional, Nilai hari ini. – Foto BERNAMA

Aisyah mahu peralatan baharu

NILAI: Pelumba berbasikal lebuh raya negara Nur Aisyah Mohamad Zubir berharap diberikan kelengkapan dan peralatan baharu bagi menghadapi saingan Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata peralatan groupset (gear, brek) dan bahagian tayar memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pada perlumbaan yang turut disertai pelumba wanita terkemuka dunia.

Aisyah, pelumba lebuh raya wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik ketika ini menggunakan kelengkapan yang dianggap sudah ketinggalan berbanding peralatan lebih canggih digunakan pencabar lain.

"Kita pun tahu nak lawan pelumba terbaik dunia, mereka pakai kelengkapan terbaik. Kalau kita pakai bawah daripada mereka, ia menyukarkan kita untuk lawan. Peralatan pun memainkan peranan... dalam 30 peratus.

"Saya harap dapat (kelengkapan baharu) sebelum bertolak ke Belgium pada Mei ini untuk kem latihan terakhir, yang turut mempunyai beberapa kejohanan peringkat Eropah kerana perlu menyesuaikan diri dengan peralatan berkenaan," katanya kepada pemberita di Velodrom Nasional hari ini.

Dia ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David.

Menurut Aisyah, hasratnya itu sudah disampaikan kepada Hamidin ketika pertemuan hari ini dan mendapat jawapan yang positif.

Mengenai latihan menjelang temasya empat tahun sekali itu, Aisyah berkata pada masa ini tumpuan diberikan untuk meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan sebelum menyertai Jelajah Biwase Vietnam pada 6 hingga 15 Mac, diikuti kem latihan selama dua minggu di Chiang Mai, Thailand dan Jelajah Thailand pada 8 hingga 10 April sebelum ke Belgium.

"Perlumbaan di Vietnam menjadi pengukur prestasi sebelum ke kejohanan lain kerana laluan di Paris hampir 160km dan sangat mencabar. Saya melakukan latihan agak keras untuk memberikan yang terbaik kerana Olimpik ibarat peluang sekali seumur hidup," katanya.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia pada November lalu, mengumumkan Aisyah sebagai wakil negara ke Paris, selepas mendapat makluman daripada Kesatuan Berbasikal Dunia Malaysia mendapat satu slot sebagai wakil Asia dalam acara lebuh raya wanita berdasarkan ranking.

Aisyah pernah meraih dua perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan dan satu gangsa acara kriterium pada Sukan SEA Hanoi 2021, serta dua gangsa bagi acara lepas beramai-ramai individu dan kriterium pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.

Pada Sukan Asia Hangzhou, China, Aisyah menamatkan saingan di tempat ke-11 acara lepas beramai-ramai selain konsisten dalam kedudukan 10 teratas bagi Jelajah Biwase Vietnam 2023 serta Jelajah Thailand 2022 dan 2023, selain enam emas pada Sukan Malaysia Perak 2018. – BERNAMA

Berita Harian X