Jumaat, 1 March 2024 | 4:36pm
Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam pada sidang media selepas mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam. – Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam pada sidang media selepas mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam. – Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Skuad badminton latih di Perancis, berbasikal di Sepanyol

KUALA LUMPUR: Skuad badminton kebangsaan akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire-sur-la-Lys, Perancis dari 10 hingga 20 Julai ini bagi menjalani kem latihan pra-Sukan Olimpik Paris 2024.

Penyelaras Program Road To Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam berkata, selain kem latihan pra-Olimpik, jawatankuasa itu turut menunaikan dua lagi permintaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menjalani kem latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan di China iaitu Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo (9 hingga 14 April) serta Piala Thomas dan Uber 2024 di Chengdu (28 April hingga 5 Mei).

"Kem latihan pertama sebelum BAC akan bermula dari 26 Mac hingga 6 April, manakala kem latihan kedua sebelum Piala Thomas dan Uber dari 15 hingga 24 April," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG semalam.

Setakat ini, tujuh pemain di bawah naungan BAM disenaraikan dalam Program RTG iaitu pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong, juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dalam pada itu, Stuart berkata Jawatankuasa RTG memberi lampu hijau buat jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menjalani kem latihan berpusat sebelum ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Beliau berkata, kedua-dua pelumba berkenaan akan menyertai dua kem latihan di Brisbane, Australia dari 23 Mac hingga 13 April ini dan Silverstone, Britain dari 9 hingga 13 Jun ini, manakala kem latihan pra-Olimpik pula akan diadakan di Mallorca, Sepanyol dari 13 Jun hingga 1 Ogos.

Stuart pada masa sama memaklumkan pihaknya turut memantau perkembangan kesihatan Azizulhasni selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022 di Hospital Epworth Richmond, Melbourne dan terus menyokong keperluan latihan serta perubatannya dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Bersama RTG Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Tze Yong selamat menjalani pembedahan di bahagian belakang oleh Institut Sukan Negara baru-baru ini dan mendoakan pemain berusia 23 tahun itu segera sembuh.

Selain kecederaan belakang, impian Tze Yong untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2024, dijadual dari 26 Julai hingga 11 Ogos, sukar dipastikan selepas turut mengalami kecederaan otot bawah belakangnya semasa Kejohanan Terbuka Malaysia Januari lalu.

Pembedahan di bahagian belakang dijangka mengetepikan Tze Yong daripada beraksi di gelanggang selama beberapa minggu dengan tempoh kelayakan ke Paris 2024 akan berakhir pada 28 April.

Sesebuah negara hanya boleh mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada kedudukan 16 teratas dunia dalam ranking Race to Paris menjelang tempoh akhir kelayakan, dengan pemain profesional Lee Zii Jia kini menduduki ranking ke-10, sementara Tze Yong di tangga ke-15, tetapi berisiko kehilangan kedudukan itu jika dia terus tidak beraksi dalam kejohanan kelayakan. – BERNAMA

Berita Harian X