Khamis, 29 Februari 2024 | 2:53pm
Penerima Anugerah Olahragawan Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bersama piala dan trofi Anugerah Sukan Johor ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam. - BERNAMA
Penerima Anugerah Olahragawan Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bersama piala dan trofi Anugerah Sukan Johor ke-30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam. - BERNAMA

Shah Firdaus, Nurul Syasya Nadiah Olahragawan, Olahragawati Johor

JOHOR BAHRU: Atlet berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Shahrom dan atlet menembak, Nurul Syasya Nadiah Mohd Amin dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati pada Anugerah Sukan Johor kali ke-30 yang diadakan di Persada Johor, semalam.

Mohammad Shah Firdaus dipilih berdasarkan pencapaiannya mengharumkan nama negara apabila menempatkan diri di ranking ke-12 bagi acara keirin dan pecut di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2021 selain meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Mohammad Shah Firdaus begitu teruja selepas dinobatkan Olahragawan Johor buat kali kedua selepas memenanginya pada 2019 namun agak terkejut apabila berjaya menewaskan dua atlet berstatus dunia iaitu atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan pemain badminton perseorangan negara, Ng Tze Yong.

"Pertama sekali syukur Alhamdullilah dan tentunya gembira kerana saya tidak jangka akan meraih gelaran Olahragawan tatkala perlu berdepan dua calon yang berpotensi tinggi untuk menang iaitu Tze Yong dan Aniq.

"Ini adalah anugerah kali kedua selepas kali pertama saya tidak dapat kerana menyertai acara berbasikal di luar negara dan malam ini (semalam) saya sendiri yang menjulang anugerah sukan berprestij Johor dan ianya memberi lebih semangat buat membuat persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik di Paris, Julai ini," katanya.

Olahragawati Johor, Nurul Syasya Nadiah tidak dapat hadir pada majlis berkenaan dan ibunya, Zainorida Ngarip mewakili anaknya untuk menerima anugerah berpresitij apabila menewaskan dua lagi calon iaitu atlet berbasikal, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad dan atlet menembak, Mumtazah Syahidah Shamsuri.

Nurul Syasya Nadiah meraih gelaran itu berdasarkan pencapaian meraih pencapaiannya memenangi pingat emas 10 meter (m) air pistol wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA 2022, Hanoi, Vietnam.

Malah penembak berusia 20 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor itu turut menyumbang empat pingat emas untuk kontinjen Johor dalam acara 25 meter (m) sport pistol berpasukan, 10m air pistol wanita individu dan berpasukan serta 10m air pistol campuran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Walaupun gagal meraih gelaran Olahragawan, Tze Yong dipilih sebagai Olahragawan Harapan manakala atlet terbaik wanita pada SUKMA 2022 yang juga atlet renang, Tan Rou Xin dipilih sebagai Olahragawati Harapan.

Dalam pada itu, kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mendominasi kategori pasukan lelaki terbaik pada anugerah berkenaan.

Berita Harian X