Rabu, 28 Februari 2024 | 9:00pm
Pemain TNB meraikan kejayaan menjuarai MHL 2024 semalam.
Pemain TNB meraikan kejayaan menjuarai MHL 2024 semalam.

TNB idam kejuaraan treble

KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan penantian 21 tahun untuk muncul juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 semalam, misi pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini terarah untuk memburu kejuaraan Piala TNB.

Piala TNB harus menjadi buruan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nassiruddin bagi melengkapkan musim gemilang dengan kejuaraan treble selepas memenangi Piala Sumbangsih dan Piala Liga.

Harapan itu disuarakan Ketua Pegawai TNB Global Business Solutions (TGBS), Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim yang menyifatkan kejayaan merangkul Piala Liga yang kali terakhir dimenangi pada 2003 sememangnya membanggakan pengurusan TNB.

"Ia adalah trofi kedua dimenangi TNB bagi musim ini, selepas merangkul Piala Sumbangsih pada 7 Februari. Syabas kepada ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini yang membimbing pasukan hoki TNB dan telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang aksi liga.

"Bagi pihak pengurusan TNB, saya berharap agar barisan pemain dapat mengekalkan prestasi yang cemerlang dan memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan yang bakal diharungi bagi menjuarai Piala TNB sekali gus mencapai aspirasi memenangi kejuaraan treble buat kali pertama," katanya.

Terdahulu, dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam, TNB ternyata berada di kelas tersendiri apabila membelasah JM Antsbeles 22-1 untuk menghimpun 26 mata bersama Terengganu Hockey Team (THT) tetapi dinobatkan juara atas kelebihan jaringan.

Kejayaan itu membolehkan mereka melakar kejuaraan berganda selepas turut cemerlang mengalahkan THT menerusi penentuan penalti 3-1 dalam Piala Sumbangsih awal bulan ini.

Untuk rekod, ini adalah gelaran liga keenam buat TNB selepas turut melakukannya sebanyak lima kali sebelum ini pada 1990, 1991/92, 2000/01, 2002 dan 2003.

Selain TNB dan THT, enam lagi pasukan yang layak ke suku akhir Piala TNB ialah Maybank, Nurinsafi Sporting, UITM HA-KPT, TNB Thunderbolts, Liaoning Men's HT dan Kuala Lumpur City dengan saingan dijadualkan Jumaat ini.

Berita Harian X