Rabu, 28 Februari 2024 | 8:00pm
Pelari menara nombor satu negara Soh Wai Ching (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi Penajaan Pelari Menara itu hari ini.
Pelari menara nombor satu negara Soh Wai Ching (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi Penajaan Pelari Menara itu hari ini.

Wai Ching sasar pertahan takhta sedekad lagi

PETALING JAYA: Pelari menara negara Soh Wai Ching menyasarkan untuk mempertahankan kedudukan selaku pelari menara nombor satu dunia bagi tempoh 10 tahun lagi biarpun usianya sudah mencecah 30 tahun.

Wai Ching berkata bagi mengekalkan kedudukannya itu, beliau berazam untuk menyertai lebih banyak kejohanan yang menawarkan kutipan mata tinggi selain berusaha memecahkan rekod bagi membantunya mengekalkan penguasaan ranking.

Wai Ching mengungguli ranking nombor satu dunia sejak April 2022.

"Sekarang ini saya berada di ranking pertama dunia untuk tempoh hampir dua tahun. Kalau boleh mahu panjangkan tempoh tersebut.

"Ia bukan mudah, kalau ikutkan, pesaing lain turut mengejar ranking ini. Jadi boleh saya katakan itu sasaran saya kini. Perkara itu bagaimanapun dapat dicapai dengan penyertaan di beberapa kejohanan penting untuk kutipan mata pada tahun ini dan tahun seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini hari ini.

Katanya, antara kejohanan menawarkan kutipan mata yang tinggi termasuk Bieg Na Szcyt di Poland (16 Mac), Towerrunning World Championship di Taiwan (4 Mei) dan Tunnel to Towers Climb di New York (2 Jun).

Tahun lepas, Wai Ching menjuarai 31 daripada 36 kejohanan disertainya.

Sementara itu, MoU ditandatangani hari ini menyaksikan Wai Ching menerima tajaan RM75,000 daripada MBPJ sebagai usaha membantu beliau meneruskan penyertaannya dalam kejohanan peringkat antarabangsa seterusnya mengekalkan kejuaraan yang disandang.

Ia tajaan kedua pihak MBPJ selepas RM100,000 pada 2022. - BERNAMA

Berita Harian X