Rabu, 28 Februari 2024 | 6:39pm
Fadhil (tengah) yakin skuad pecut mampu pergi lebih jauh.
Fadhil (tengah) yakin skuad pecut mampu pergi lebih jauh.

Fadhil sedia pimpin skuad pecut buru emas

NILAI: Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Fadhil Zonis sedia memimpin dua lagi pelumba Muhammad Ridhwan Sahrom dan Umar Hasbullah untuk meningkatkan prestasi sekali gus meraih pingat emas dalam acara pecut berpasukan pada kejohanan akan datang.

Menurut Muhammad Fadhil, trio negara mampu memperbaiki kelemahan masing-masing dan membentuk pasukan yang lebih mantap pada masa akan datang.

"Saya rasa prestasi kami boleh pergi lebih jauh, banyak faktor yang kami boleh gilap. Kejohanan sebelum ini di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 kami tak ada berlatih sangat, lebih kepada individu tapi prestasi okey.

"Kalau kita fokus memang akan ada peluang. Saya yakin kita boleh pecahkan rekod kebangsaan. Banyak faktor yang boleh ditambah baik dan mereka masih muda, banyak masa lagi, saya perlu bimbing mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Fadhil, Muhammad Ridhwan dan Umar merangkul pingat perak pada ACC di New Delhi, baru-baru ini selepas mencatatkan 44.607 saat (s), sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa tahun lepas di Velodrome Nasional, Nilai.

Trio negara tewas kepada juara bertahan, Jepun yang dibarisi Yuta Obara, Kento Yamasaki dan Minato Nakaishi yang mempertahankan gelaran Asia dengan catatan 44.367s pada final manakala China membawa pulang gangsa selepas menewaskan pasukan tuan rumah pada penentuan tempat ketiga.

Muhammad Fadhil, Muhammad Ridhwan dan Umar telah bergandingan sejak Jun tahun lepas bermula di ACC 2023 di Nilai dan mereka terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan menghadiahkan pingat gangsa ketika itu.

Sebelum ini, Muhammad Fadhil bergandingan dengan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut berpasukan. - BERNAMA

Berita Harian X