Selasa, 27 Februari 2024 | 9:31pm
Pemain TNB meraikan kejayaan menjuarai MHL 2024 selepas menewaskan JM Antsbees 22-1 di Stadium Hoki Bukit Jalil. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Pemain TNB meraikan kejayaan menjuarai MHL 2024 selepas menewaskan JM Antsbees 22-1 di Stadium Hoki Bukit Jalil. NSTP/HAZREEN MOHAMAD

TNB akhiri penantian 21 tahun, belasah JM Antsbees 22-1

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakhiri penantian 21 tahun untuk merangkul kejuaraan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 selepas membelasah JM Antsbees 22-1 di Padang 1 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Kejuaraan itu juga merupakan yang keenam buat TNB apabila pernah memenangi liga pada 1990, 1991-92 (bertanding sebagai Kelab Kilat), 2000-2001, 2002 dan 2003.

Pemain pasukan itu, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak lima gol dalam perlawanan itu iaitu pada minit ke-10, 12, 33, 47 dan 53.

Sementara itu, jurulatih pasukan Nor Saiful Zaini mengakui kehadiran pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jong Hyun banyak membantu dalam mengubah rentak permainan pasukan.

"Awal macam sukar nak juara... kita tidak bermula dengan baik tahun ini sebab kita ramai pemain baharu. (Namun) kita banyak belajar kena bersedia betul-betul sebelum perlawanan pertama adalah penentuan (semangat) untuk perlawanan seterusnya.

"Kita harap dapat kekalkan momentum ini dalam aksi Piala TNB sampai final. Kita tidak sasarkan gol sebenarnya, kita nak main seperti mereka sebagai pemain kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lebih manis apabila anak buah Nor Saiful Zaini sebelum ini telah menjuarai Piala Sumbangsih 2024 selepas meraih kemenangan 3-1 menerusi penentuan shoot-out ke atas Terengganu Hockey Team (THT) pada awal bulan ini.

Dalam satu lagi aksi di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan pasukan THT muncul naib juara selepas menewaskan Maybank 4-3.

Penentuan kejuaraan bagi kumpulan wanita akan diadakan Khamis ini melibatkan Malaysian University yang kini menghuni tangga teratas liga dengan 20 mata, diikuti Liaoning (18 mata) dan PDRM Blue Warriors (18 mata). - BERNAMA

Berita Harian X