Selasa, 27 Februari 2024 | 7:17pm
Skuad negara bawa pulang dua emas, dua perak dan tiga gangsa di ACC.
Skuad negara bawa pulang dua emas, dua perak dan tiga gangsa di ACC.

Beasley tabik prestasi pelumba di India

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menyifatkan 'kunjungan' ke New Delhi bagi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 berjaya menghasilkan pencapaian yang begitu baik.

Skuad berbasikal negara pulang dari edisi kali ini dengan dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa untuk berada di tangga ketiga secara keseluruhan di belakang Jepun dan China.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti kelibat pelumba wanita yang digelar 'The Pocket Rocketwoman', Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang berjaya menggondol dua pingat emas menerusi acara keirin dengan acara 500 (m) ujian masa.

Jelas Beasley, meskipun beberapa negara lain tidak menghantar pelumba terbaik mereka, Malaysia turut mengambil pendekatan yang sama dan ACC sememangnya adalah satu pertandingan yang sengit serta bertaraf tinggi.

"Saya rasa kita memberikan saingan yang baik dan secara keseluruhan, kita memperoleh keputusan yang sangat hebat. Kami tidak bermimpi dengan tahap yang kita ada buat masa ini walaupun kita ada pasukan yang begitu muda.

"Sasaran kita adalah untuk menyiapkan mereka bagi temasya Sukan Olimpik 2028 dan sepanjang enam hari ini, bakat yang sedang kita bangunkan dan kembangkan ini begitu menyerlah. Ada lagi yang boleh ditunjukkan jadi kita harus sentiasa konsisten.

"Saya gembira dengan persembahan ditunjukkan barisan pelumba kita dan ia dibalas dengan pingat yang kita menangi," kata Beasley.

Dalam masa sama, Beasley juga menegaskan pencapaian di New Delhi dapat dilakar atas usaha keras yang ditunjukkan oleh pelumba negara dan ia diterjemahkan dengan pungutan pingat yang berjaya dibawa pulang.

"Kejayaan ini datang hasil proses yang baik dan usaha keras mereka selain banyak pengorbanan yang sudah dilakukan.

"Kami bertuah kerana ada pasukan hebat yang sentiasa bekerjasama dengan sangat baik," katanya.

Selain emas acara keirin wanita dan 500 (m) ujian masa wanita, Malaysia turut memenangi perak dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta gangsa dalam acara pecut lelaki, pecut wanita dan keirin wanita.

Berita Harian X