Isnin, 26 Februari 2024 | 5:09pm
Nurul Izzah raih emas dalam acara keirin wanita di ACC semalam.
Nurul Izzah raih emas dalam acara keirin wanita di ACC semalam.

Azizulhasni tabik Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Datuk Azizulhasni Awang melihat kejayaan yang diukir oleh Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara keirin wanita elite di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India semalam sebagai permulaan untuk dirinya melangkah lebih jauh serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Menurut pemenang perak Sukan Olimpik itu, saiz fizikal bukan faktor utama untuk seseorang mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa dan kejohanan seperti ACC itu adalah platform terbaik untuk pelumba negara menunjukkan keupayaan sebenar mereka.

"Kejayaan Nurul Izzah adalah semboyan kepada landskap sukan Malaysia yang beliau mempunyai masa depan yang cerah untuk pergi lebih jauh. Pecutan Nurul Izzah juga diharap mengingatkan semua pihak yang saiz tubuh badan itu bukanlah indikator terbesar di dalam menentukan bakat seseorang.

"ACC New Delhi (2024) merupakan tempat dan waktu terbaik kepada pelumba-pelumba negara untuk menonjolkan potensi sebenar mereka termasuk untuk merangkul kejuaraan Asia yang sentiasa menjadi idaman oleh semua pelumba di rantau Asia.

"Nurul Izzah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dan beliau mempamerkan kemahuan yang mengatasi segala-galanya," tulisnya di Instagram miliknya.

Sementara itu, Azizulhasni turut memuji seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi turut berjaya membanggakan Malaysia selepas meraih gangsa dalam aksi final itu.

Selain itu beliau turut memberi kata-kata semangat buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom meskipun tidak berjaya meraih pingat dalam acara keirin lelaki elit semalam.

"Kita semua juga harus memberikan pujian kepada rakan sepasukan beliau iaitu Anis di atas pencapaian pingat gangsa semalam.

"Semangat yang beliau tonjolkan di dalam perlumbaan untuk terus bertahan dengan kelajuan sehingga ke garisan penamat menjadi bukti kemahuan tinggi yang dimiliki.

"Untuk rekod, Anis berlumba di dalam kecederaan dan sudah tentu kejayaan pingat Gangsa itu merupakan pencapaian yang sangat manis buat beliau.

"Buat dua pelumba adik-beradik, Shah Firdaus dan Ridwan pula, syabas di atas usaha yang diberikan semalam. Diharap anda berdua akan tidak akan mengaku kalah dan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk masa hadapan," katanya.

Berita Harian X