Isnin, 26 Februari 2024 | 2:12pm
Nurul Izzah (tengah) dan Anis (kanan) bersama Tong Meng Qi di podium ACC.
Nurul Izzah (tengah) dan Anis (kanan) bersama Tong Meng Qi di podium ACC.

Beasley tak terkejut Nurul Izzah, Anis raih pingat

KUALA LUMPUR: Kejayaan dua pelumba wanita negara meraih pingat emas dan gangsa bagi acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India semalam bukanlah pencapaian yang mengejutkan.

Ini kerana Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley sudah meramalkan perkara itu dan 'tilikan' Beasley 'mengena' apabila Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menggondol pingat emas manakala Anis Amira Rosdi meraih gangsa.

Perkembangan itu jelas menggembirakan Beasley yang mengakui Nurul Izzah masih boleh 'meletup' selepas pelumba berusia 21 tahun itu berjaya menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin wanita di ACC.

"Izzah memperagakan prestasi yang mantap dan kita sememangnya menjangkakan dapat memenangi keirin kerana kedua-dua pelumba wanita kita berada dalam prestasi yang terbaik.

"Ini satu langkah yang hebat dalam perkembangan yang ditunjukkan Izzah dan banyak lagi yang boleh diberikan olehnya.

"Anis juga menunjukkan persembahan yang sangat baik untuk memenangi gangsa, jadi saya sangat berbangga dengan kedua-dua mereka," kata Beasley.

Terdahulu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan dirinya layak bergelar 'The Pocket Rocketwoman' selepas memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India.

Pada aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi itu, Nurul Izzah mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjadi pelumba pertama yang melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Tong Meng Qi yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala gangsa acara itu menjadi milik seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi.

Berita Harian X