Ahad, 25 Februari 2024 | 12:39pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melepaskan peserta pada Piala Triatlon Asia 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya, hari ini. - BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melepaskan peserta pada Piala Triatlon Asia 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya, hari ini. - BERNAMA

KBS ketatkan larangan penajaan babitkan syarikat rokok, vape

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengetatkan lagi peraturan membabitkan penajaan dalam sesuatu acara sukan bagi memastikan ia tidak ditaja oleh syarikat rokok dan rokok elektronik atau vape.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata persatuan sukan dan belia sedar kementerian melarang syarikat rokok dan vape daripada menjadi penaja dalam acara sukan.

"Sebab itu, saya sudah minta pegawai undang-undang kita untuk melihat apa yang kita boleh lakukan untuk mengetatkan lagi proses ini.

"Ini kerana kita bukan saja mahu wujudkan satu persekitaran yang selamat untuk peserta tetapi juga untuk yang datang menonton.

"Kalau syarikat rokok dan vape boleh datang dan jual produk mereka, ibu bapa tidak akan menghantar anak mereka ke program seperti ini. Sebab itu, KBS memang tidak membenarkan menjadi penaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan peserta di Kejohanan Triathlon Piala Asia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata penonton akan diperiksa apabila menghadiri semua acara sukan yang dianjurkan di venue atau fasiliti sukan milik KBS dan jika mereka didapati membawa rokok atau vape ia akan dirampas.

"Saya tahu dalam sektor industri sukan, ramai sedang mencari penaja dan bukan senang untuk mendapat penaja sebenarnya dan kos penganjuran adalah tinggi.

"Namun, kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini kerana ia membabitkan isu kesihatan dan keselamatan. Jika kita membenarkannya, ia akan menghantar mesej yang salah.

"Kami akan menghantar surat tunjuk sebab kepada persatuan yang terbabit dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan yang sudah kami ambil," katanya.

Pada Rabu lalu, tular di media sosial berkenaan penganjuran satu acara sukan berlangsung pada 17 dan 18 Februari yang mendapat tajaan daripada syarikat vape.

Berita Harian X