Jumaat, 23 Februari 2024 | 11:03pm
Dua pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri - Foto BERNAMA
Dua pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri - Foto BERNAMA

Shah Firdaus, Izzah Izzati raih gangsa ACC India

KUALA LUMPUR: Dua pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mempamer aksi memberangsangkan selepas masing-masing meraih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki dan wanita, pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India hari ini.

Muhammad Shah Firdaus menamatkan saingan dengan keputusan 2-0 ke atas wakil Taiwan Shih Feng Kang pada perlumbaan penentuan pingat gangsa menurut laman sesawang https://atresults2.wixsite.com/attiming/acct2024.

Terdahulu, beliau yang juga pemenang pingat perak acara keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir pada Mac lepas gagal melangkah ke final selepas tewas kepada wakil China, Li Zhiwei, 0-2, dalam saingan separuh akhir.

Sementara itu, Nurul Izzah Izzati mengiringi kejayaan sama selepas menewaskan wakil Jepun Aki Sakai, 2-0.

Beliau terlepas peluang untuk merebut pingat emas dan perak selepas tewas kepada wakil China Tong Mengqi 0-2 di peringkat separuh akhir. – BERNAMA

Berita Harian X