Rabu, 21 Februari 2024 | 4:22pm
Shahmalarani (dua dari kiri) ketika meraih emas di Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus. - Foto ihsan Malaysia Karate Federation
Shahmalarani (dua dari kiri) ketika meraih emas di Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus. - Foto ihsan Malaysia Karate Federation

Shahmalarani makin bersemangat cipta kejayaan

KUALA LUMPUR: Kejayaan merangkul pingat emas di Kejohanan Karate 1 Siri A Persekutuan Karate Dunia (WKF) di Larnaca, Cyprus kelmarin bakal menjadi 'langkah awal' buat atlet negara, C Shahmalarani mempertahankan gelaran di pentas Sukan SEA Thailand 2025.

Shahmalarani yang meraih emas dalam acara wanita bawah 50 kilogram (kg) di Larnaca berkata, masih banyak kejohanan yang bakal disertai pada tahun ini dan semuanya itu bakal mempersiapkan dirinya terutama untuk menghadapi temasya di Thailand nanti.

"Ini kejohanan pertama untuk tahun 2024 dan ia di peringkat antarabangsa," kata Shahmalarani yang pernah meraih emas di Sukan SEA Kemboja 2023 dan Vietnam 2021.

Di pentas final yang berlangsung di Kition Athletic Center, Larnaca, Shahmalarani menewaskan atlet Sepanyol, Eva Rodriguez 9-5 untuk meraih pingat emas pertamanya bagi musim 2024.

"Syukur kerana dapat emas di peringkat dunia dan ini emas (pertama) untuk tahun ini. Masih banyak kejohanan dan kejohanan menawarkan (mata) ranking di masa akan datang. Bukan temasya besar... tak ada Sukan SEA ataupun Sukan Asia tetapi hanya kejohanan ranking.

"Kejohanan ini bakal memberi banyak pendedahan bagi meningkatkan ranking dan membiasakan diri dengan saingan di pentas dunia. Jadi itu adalah sasarannya, untuk tingkatkan ranking dunia, menaikkan lagi tahap sedia ada dan bersiap sedia untuk temasya besar iaitu Sukan SEA 2025," katanya.

Pada Sukan SEA Kemboja tahun lalu, Shahmalarani mempertahankan kilauan emas dimenanginya di Vietnam selepas mengatasi jaguh Filipina, Tsukii Junna Villanueva di Pusat Konvesyen Chroy Changvar, Phnom Penh.

Momentum kejayaan itu bagaimanapun tidak dapat dibawa atlet berusia 25 tahun berkenaan di pentas Sukan Asia Hangzhou 2023 apabila terkandas di pusingan 16 terbaik dan sedikit sebanyak, kejayaan di Larnaca ini bakal menjadi pengubat duka baginya.

Berita Harian X