Ahad, 18 Februari 2024 | 6:33pm
Dharma anggap ada misi tertangguh bersama Speedy Tigers yang membuatkannya memohon jawatan yang diiklankan KHM.
Dharma anggap ada misi tertangguh bersama Speedy Tigers yang membuatkannya memohon jawatan yang diiklankan KHM.

Dharma mohon jawatan ketua jurulatih Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Mahu kembali berbakti kepada negara.

Itu faktor utama yang membuatkan Muhammad Dharma Raj Abdullah membuat keputusan memohon untuk mengisi kekosongan tugas selaku ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan.

Dharma yang ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal skuad kebangsaan Indonesia, berkata sekiranya diberi peluang, dia mahu membentuk pasukan kebangsaan yang 'berwajah baharu' sekali gus melunaskan misinya yang tertangguh ketika bergelar jurulatih negara sebelum ini.

Nama, Dharma mula 'meletup' ketika membimbing skuad remaja kebangsaan sehingga berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2013.

"Selepas nama saya mula menjadi sebutan di skuad remaja, saya tidak kesampaian mengulangi perkara sama ketika membimbing pasukan senior. Saya rasa ini adalah peluang untuk melaksanakan perkara yang harus saya buat.

"Ia seperti ada 'urusan' yang belum selesai walaupun jika hendak diikutkan situasi saya di Indonesia sudah cukup baik. Bagaimanapun, saya memohon sahaja jawatan berkenaan tatkala kontrak saya di sini sehingga 2025," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan hoki Indonesia selepas keputusannya untuk berbuat demikian, Dharma berkata, memang ada kesan kerana sudah melebarkan pengaruh di Indonesia.

"Saya meminta izin dengan cara baik, kita tengok situasi nanti bagaimana. Memang bercampur-baur perasaan mereka ada yang pohon jangan tinggalkan Indonesia, ada yang berasa sedih," katanya yang membawa Indonesia memenangi emas hoki dalam dewan lelaki di Sukan SEA Kemboja 2023.

Dharma antara 23 calon ketua jurulatih pasukan kebangsaan hoki Malaysia, yang menghantar permohonan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersama empat lagi calon tempatan, termasuk Arul Selvaraj dan Sarjit Singh.

Antara calon luar yang turut menghantar permohonan adalah jurulatih kebangsaan India V Baskaran.

Dharma, 54, pernah menjadi ketua jurulatih skuad lelaki negara pada awal 2014 sebelum direhatkan selepas berakhir saingan Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan sebelum ke Indonesia beliau melatih pasukan wanita negara sehingga kontraknya berakhir pada Disember 2019.

Dia mula bersama pasukan hoki Wilayah Jawa Barat pada 2020 sebelum dilamar pasukan kebangsaan Indonesia pada Mac 2021.

Berita Harian X