Ahad, 18 Februari 2024 | 12:46pm
Bertrand belum disenaraikan dalam RTG walaupun sudah layak ke Olimpik.
Bertrand belum disenaraikan dalam RTG walaupun sudah layak ke Olimpik.

Nasib Bertrand diketahui hujung bulan

KUALA LUMPUR: Ada sinar buat atlet terjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata penyenaraian penerjun berusia 19 tahun itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG yang akan berlangsung, hujung bulan ini.

"Ada dua kriteria untuk RTG. Pertama, atlet berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia dan yang kedua adalah pemenang pingat Olimpik yang lepas.

"(Namun), langkah pertama sudah tentulah perlu layak ke Sukan Olimpik terlebih dahulu.

"Walaupun Rhodict tiada dalam RTG tetapi dia adalah atlet program Podium. Semua atlet Podium juga memang akan diberikan sokongan penuh ke Sukan Olimpik Paris.

"Apa pun, kita akan bincangkan (sama ada Rhodict layak disenaraikan dalam RTG) dalam mesyuarat bulan ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Cabaran Lompat Tinggi 'Leap To The Stars' 2024 di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.

Rhodict menjadi penerjun tunggal negara berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris menerusi acara 10 meter platform individu.

Jawatankuasa RTG sebelum ini hanya menyenaraikan dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam program itu sejak ia mula dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Pandelela dan Nur Dhabitah gagal melayakkan diri ke Paris selepas prestasi mengecewakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang menjadi peluang terakhir merebut tiket ke temasya berkenaan

Dalam pada itu, Hannah berharap barisan pemain badminton negara yang berada dalam RTG berjuang habis-habisan bagi melayakkan diri ke Paris.

"Apa yang saya nak sekarang adalah atlet badminton teruskan usaha untuk mereka yang berada dalam RTG pastikan layak ke Sukan Olimpik Paris.

"Pusingan kelayakan masih berjalan, saya nak mereka bersungguh-sungguh mendapatkan slot ke Paris," katanya.

Seramai sembilan pemain badminton ketika ini berada dalam RTG iaitu Ng Tze Yong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Hannah yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa RTG turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meluluskan bajet sebanyak RM20 juta untuk program berkenaan.

Berita Harian X