Sabtu, 17 Februari 2024 | 7:26pm
Pandelela dakwa media salah tafsir kenyataannya.
Pandelela dakwa media salah tafsir kenyataannya.

Pandelela jelas isu 'entiti', dakwa media salah tafsir

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong hari ini menjelaskan isu 'entiti' dengan menyatakan bahawa kata-katanya itu telah disalah tafsir oleh media sehingga menimbulkan spekulasi dan salah faham.

"Isu-isu ini berkaitan dengan latihan. Walau bagaimanapun, ia telah diterjemahkan kepada istilah seperti 'entiti' dan 'pihak ketiga,' yang sangat mengelirukan orang ramai.

"Saya tidak mempunyai sebarang platform lain untuk menjelaskan perkara ini kepada orang ramai. Oleh itu telah memutuskan untuk membuat kenyataan ini bagi menjelaskan keadaan. Saya harap perkara ini akhirnya dapat dihentikan," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Prestasi hambar skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu, menyaksikan penerjun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos.

Walaupun menyebut terdapat isu apabila ditanya media sejurus tibanya dari Doha, Pandelela berusia 30 tahun itu berkata beliau tidak boleh menghuraikan perkara ini tanpa terlebih dahulu berjumpa dengan pihak berkaitan untuk menjalankan pascanilai (post-mortem).

Kelmarin, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata mereka akan memulakan siasatan berhubung dakwaan Pandelela yang mendakwa wujud kemelut dalaman sehingga menyebabkan skuad terjun beraksi hambar di Doha.

Bagaimanapun, Low, yang sebelum ini bertemu Pandelela pada hari yang sama, enggan mendedahkan sebarang butiran sehingga siasatan selesai kerana ia perlu dibentangkan dalam mesyuarat pemulihan sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Di Doha, Malaysia menghantar 13 penerjun termasuk Pandelela, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris.

Bagaimanapun, tiada seorang pun penerjun negara melayakkan diri ke Paris menerusi kejohanan berkenaan.

Penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises menjadi penerjun tunggal negara yang berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X