Sabtu, 17 Februari 2024 | 6:56pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan sudah bertemu Pandelela dan mendapat gambaran apa yang berlaku dalam skuad terjun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan sudah bertemu Pandelela dan mendapat gambaran apa yang berlaku dalam skuad terjun.

Tiada pihak ketiga, tiada entiti, tiada kemelut dalaman - Hannah

KUALA LUMPUR: Tiada campur tangan pihak ketiga, tiada entiti dan tiada kemelut dalaman.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebaliknya menegaskan komunikasi antara atlet, jurulatih dan persatuan (Persekutuan Renang Malaysia) perlu dipertingkatkan bagi memperbaiki kelemahan susulan kegagalan skuad terjun di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Katanya, beliau sudah pun mendapat penjelasan daripada penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong yang sebelum ini membayangkan wujud kemelut sehingga menjejaskan prestasi atlet negara di Doha.

Keputusan di Doha menyaksikan tiada seorang pun berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Seperti yang Pendelela jelaskan dalam Instagram, hari ini, bila dia balik, dia ditanya media dan dia memberikan jawapan tidak berunsurkan ada pihak ketiga atau entiti.

"Dia sudah jelaskan kepada saya mengenai keadaan atlet yang ke Doha.

"Ia bukan disebabkan campur tangan entiti atau pihak ketiga, yang saya rasa adalah mereka perlu perbaiki komunikasi dalaman membabitkan atlet, jurulatih dan persatuan, itu yang sangat penting.

"Saya rasa ini adalah masalah yang kita boleh tangani.

"Saya akan jumpa persatuan untuk dengar cerita mereka pula dan kita akan pastikan kita cari jalan untuk perbaiki," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Cabaran Lompat Tinggi 'Leap To The Stars' 2024 di sebuah pusat membeli belah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kedudukan Pandelela dan seorang lagi penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri dalam program Road to Gold (RTG), Hannah berkata, walaupun nampak jelas (kedua-dua gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024) namun beliau tidak boleh membuat keputusan bersendirian.

"Walaupun nampak jelas tetapi keputusan itu, saya tak boleh buat melalui sidang media ini, kita tunggu jawatankuasa Program RTG bermesyuarat bulan ini untuk buat satu keputusan.

"Dalam Program RTG kita memang tahu sekarang adalah untuk atlet yang mempunyai peluang meraih pingat di Olimpik Paris. Tetapi keputusan itu bukan saya seorang boleh buat tetapi kita perlu jawapan daripada jawatankuasa," katanya.

Berita Harian X