Isnin, 12 Februari 2024 | 2:09pm
Nasib dua penerjun senior negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri sama ada kekal dalam program Road To Gold (RTG) atau tidak akan diketahui hujung bulan ini. - Foto fail
Nasib dua penerjun senior negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg (kiri) dan Nur Dhabitah Sabri sama ada kekal dalam program Road To Gold (RTG) atau tidak akan diketahui hujung bulan ini. - Foto fail

Nasib Pandelela, Dhabitah hujung bulan

KUALA LUMPUR: Nasib dua penerjun senior negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri sama ada kekal dalam program Road To Gold (RTG) atau tidak akan diketahui hujung bulan ini.

Pandelela dan Nur Dhabitah berada dalam senarai 14 atlet di bawah program RTG namun kedua-duanya gagal mendapatkan tiket kelayakan terakhir ke Paris pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.

Situasi itu nyata menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan kedua-dua atlet berkenaan dalam RTG - sama ada dikekalkan atau digugurkan.

Mengesahkan mengenai mesyuarat hujung bulan ini yang intipati utamanya membincangkan nasib kedua-dua penerjun itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagaimanapun mahu semua pihak supaya bersabar dan menunggu keputusan mesyuarat berkenaan.

"Saya tahu ramai nak tanya mengenai terjun... kita tunggu keputusan mesyuarat RTG.

"(Secara peribadi) Pasti rasa kecewa tetapi saya nak dengar dulu penjelasan daripada persatuan sukan berkenaan kerana mereka mempunyai jurulatih dan pengarah teknikal. MSN (Majlis Sukan Negara) sedang membuat susun atur untuk jumpa mereka," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan pengurusan RTG akan mengadakan mesyuarat hujung bulan ini bagi membincangkan nasib Pandelela dan Dhabitah. - NSTP/Rohanis Shukri
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan pengurusan RTG akan mengadakan mesyuarat hujung bulan ini bagi membincangkan nasib Pandelela dan Dhabitah. - NSTP/Rohanis Shukri

Hannah berkata demikian pada Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad dengan pemain golf negara, Ervin Chang hari ini.

Dalam pada itu, Hannah turut memaklumkan yang bukan mudah untuk membuat keputusan terutama dalam portfolio sukan memandangkan ia membabitkan prestasi seseorang atlet.

"Portfolio kita (KBS) sukan dan belia. Belia perlu diberikan sokongan supaya peluang kedua itu wujud buat mereka. Namun untuk sukan, ia berasaskan prestasi. Kita tahu, dalam perjalanan seseorang atlet, ada masa mereka naik dan ada masa turun.

"Cabaran kita adalah untuk tengok bagaimana bantuan itu boleh dipertingkatkan atau diteruskan walaupun mereka (atlet) gagal dan itu cabaran yang bukan senang untuk dibuat keputusan.

"Ini kerana... kita ada lihat ada atlet, walaupun mereka jatuh tetapi mampu bangkit semula. Jadi keputusan teknikal dan pakar berhubung prestasi atlet, ini bukan satu keputusan yang boleh dibuat oleh menteri, kita perlukan input daripada jurulatih, persatuan sukan dan pakar yang terbabit dalam bantuan pembangunan atlet berkenaan," katanya.

Pada aksi di Doha minggu lalu, Pandelela terkandas di pusingan kelayakan dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individ apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 peserta.

Selain itu, dia turut gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama Dhabitah apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.

Dhabitah juga turut gagal melangkah ke pentas final acara 3 meter (m) papan anjal dan gandingannya bersama Wendy Ng Yan Yee pula dalam acara seirama sekadar di tempat kesembilan.

Berita Harian X