Sabtu, 10 Februari 2024 | 1:14pm
Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises (kanan) dan Enrique Harold bertanding pada final 10m platform lelaki seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar kelmarin. – Foto AFP
Penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises (kanan) dan Enrique Harold bertanding pada final 10m platform lelaki seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar kelmarin. – Foto AFP

Bertrand perlu ada dalam RTG - Sadek

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) digesa segera menyenaraikan penerjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises ke dalam program itu bagi persiapannya menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bertrand, 19, menjadi penerjun tunggal negara berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter platform individu.

Jawatankuasa RTG sebelum ini hanya menyenaraikan dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam program itu sejak ia mula dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Pandelela dan Nur Dhabitah gagal melayakkan diri ke Paris selepas prestasi mengecewakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang menjadi peluang terakhir merebut tiket ke temasya berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata Bertrand berhak diberikan sokongan 'kelas A' dalam persiapannya menggalas cabaran negara di Olimpik Paris.

"Sejak dari awal lagi saya sudah suarakan yang Bertrand perlu disenaraikan dalam RTG.

"Dia adalah atlet yang mempunyai potensi besar ditambah pula usianya yang masih muda dan memiliki peluang untuk beraksi di Olimpik Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032.

"RTG adalah program yang ditubuhkan untuk atlet yang mempunyai potensi memenangi pingat bukan sahaja di Paris tetapi di Los Angeles juga. Jadi, dia layak berada dalam RTG.

"Jika kita mahu bercakap mengenai ranking dunia, dia sudah pun buktikan dengan melayakkan diri ke Olimpik Paris manakala yang ada ranking pun tidak layak.

"Saya percaya jika Bertrand disenaraikan, ia akan memberi motivasi tambahan kepada dirinya untuk menampilkan persembahan terbaik di Paris nanti," kata Sadek kepada BH Sukan.

Mengulas sama ada Pandelela dan Nur Dhabitah perlu digugurkan daripada program RTG, Sadek berkata: "Mereka perlu dikeluarkan daripada RTG.

"Jika mahu disenaraikan semula, mereka perlu buktikan menerusi kejayaan dalam kejohanan utama akan datang termasuk Kejohanan Dunia atau Asia tahun depan," katanya.

Berita Harian X