Jumaat, 9 Februari 2024 | 5:33pm
Skuad terjun wanita negara terlalu bergantung kepada Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri.
Skuad terjun wanita negara terlalu bergantung kepada Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri.

'Episod suram sukan terjun berlanjutan sedekad lagi'

KUALA LUMPUR: Episod suram membabitkan skuad terjun kebangsaan diramal berlanjutan sekurang-kurangnya selama 10 tahun lagi sebelum Malaysia mampu kembali menjadi pencabar di kejohanan peringkat tertinggi termasuk Sukan Olimpik.

Malaysia dipalit 'sejarah hitam' apabila buat pertama kali dalam tempoh 24 tahun, tiada kelibat penerjun wanita akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas kegagalan mereka melayakkan diri termasuk dua sandaran utama, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Situasi sama turut membelenggu skuad lelaki apabila setakat ini hanya Bertrand Rhodict Lises yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10 meter (m) platform individu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, berkata Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memperhebatkan program pencarian bakat-bakat baharu untuk dibangunkan bagi menjadi jaguh dunia yang baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum Malaysia boleh menuai hasilnya dengan beliau meramalkan skuad terjun akan kembali menjadi pencabar pingat di Sukan Olimpik Brisbane 2032.

Katanya, kegagalan Persatuan Renang Malaysia (MAS) untuk memastikan kesinambungan daripada barisan penerjun yang ada ketika ini memberi kesan terhadap misi negara bagi memburu kilauan pingat menerusi sukan itu di Olimpik Paris.

"Bagi saya, persatuan begitu selesa dengan atlet yang sedia ada. Kita biarkan pencarian bakat itu tertangguh sehingga menyebabkan ada kelompongan yang sangat besar dan beri kesan untuk kita membawa pulang pingat menerusi sukan terjun.

"Kita tidak boleh salahkan atlet kerana mereka sudah berusaha sebaliknya persatuan yang perlu memikul tanggungjawab.

"Jadi, kita perlu kembali kepada asas dengan memperhebatkan program pencarian bakat-bakat baharu membabitkan semua pemegang taruh termasuklah persatuan kebangsaan, negeri, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri.

"Salah satunya, kita perlu adakan mini SUKMA (Sukan Malaysia) untuk sukan terjun membabitkan penyertaan bakat-bakat seawal usia 12 tahun. Golongan ini kita perlu bangunkan dengan memberikan semua sokongan yang diperlukan tetapi sudah tentu mengambil masa yang panjang sekurang-kurangnya 10 tahun.

"Jadi, saya ramalkan kita akan kembali menjadi kompetitif di Olimpik," kata Sadek kepada BH Sukan.

Dalam pada itu, Sadek turut meramalkan dominasi skuad terjun negara di peringkat Sukan SEA juga akan berakhir bermula di Bangkok 2025 berdasarkan kepada peningkatan ditunjukkan penerjun Thailand, Filipina, Singapura, Indonesia dan Vietnam.

"Pada pusingan kelayakan yang sedang berlangsung ketika ini (Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar) saya lihat penerjun dari negara terbabit sudah mula mendekati keupayaan atlet negara kita bertaraf senior.

"Mereka pula mempertaruhkan atlet muda dan sudah ada pengalaman bertanding di Sukan SEA. Jadi, sudah tentu mereka akan mula menunjukkan penguasaan di Sukan SEA Bangkok nanti," katanya.

Penerjun wanita Malaysia konsisten beraksi di Olimpik sejak Sydney 2000 dan Pandelela mencipta sejarah menjadi penerjun wanita pertama negara meraih pingat dengan memenangi gangsa acara 10m platform individu di Sukan Olimpik London 2012.

Dia kemudiannya meraih perak bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama di Olimpik Rio 2016.

Berita Harian X