Khamis, 8 Februari 2024 | 4:24pm
Hannah mempengerusikan mesyuarat RTD hari ini.
Hannah mempengerusikan mesyuarat RTD hari ini.

KBS ambil langkah proaktif galak warga emas bersukan

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengambil langkah proaktif bagi menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas untuk memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan itu terpelihara.

Usaha itu diterjemahkan menerusi Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas yang berlangsung di Menara KBS di sini, hari ini.

Perbincangan itu dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS, Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.

Sebanyak 21 pemegang taruh turut bersama dalam perbincangan berkenaan antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Malaysian Research Institute on Ageing, Universiti Putra Malaysia, Myageing Institution (Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

KBS dalam satu kenyataan, berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2023, populasi penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas kini mencecah 11.1 peratus.

Katanya, statistik ini dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang tahun 2030 menjadikan Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara menua, menurut definisi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB).

"Sehubungan dengan itu, sedang mengambil langkah proaktif dengan menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas untuk memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan ini terpelihara.

"Usaha KBS ini selari dengan pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati bagi penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases – NCD), serta diharapkan dapat mengurangkan beban bil perubatan yang tinggi kepada Kerajaan.

"Sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan pandangan, idea dan maklum balas daripada pemegang taruh sukan warga emas termasuk daripada jabatan/agensi kerajaan, sektor swasta, badan sukan, dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Pada masa sama, KBS memaklumkan input yang diterima dalam sesi perbincangan itu diharapkan dapat membantu kementerian itu melalui JBSN untuk membina jaringan kerjasama strategik bersama pemegang taruh seterusnya menyokong usaha pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua (sports for all), termasuk dalam kalangan warga emas.

Katanya, sesi itu turut menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).

Berita Harian X